07-01
Polis sahkan lebuh raya selamat bom mortar telah dimusnahkan
2025-07-01
HaiPress
Bom jenis mortar 81mm daripada kategori Unexploded Ordnance (UXO) ditemui ketika kerja pembersihan landskap pagi tadi/Foto Polis
IPOH,30 Jun – Laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Kilometer 265,iaitu kira-kira empat kilometer selepas Terowong Menora,yang sebelum ini ditutup sementara susulan penemuan objek disyaki bom,kini dibuka semula sepenuhnya kepada pengguna.
Ketua Polis Perak,Datuk Noor Hisam Nordin berkata,objek yang ditemui sekitar pukul 9.30 pagi itu disahkan sebagai bom jenis mortar 81mm daripada kategori Unexploded Ordnance (UXO) dan ditemui ketika kerja-kerja pembersihan landskap dijalankan di lokasi kejadian.
"Berikutan penemuan itu,Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh telah bertindak segera memusnahkan bom tersebut secara terkawal.
“Proses pemusnahan selesai dalam tempoh kurang satu jam tanpa sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Penemuan bom itu turut menyebabkan penutupan sementara laluan di kedua-dua arah antara Kuala Kangsar dan Ipoh,sekali gus mengakibatkan kesesakan trafik sepanjang 15 kilometer selepas Terowong Menora.
Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan segera melaporkan sebarang penemuan objek mencurigakan kepada pihak berkuasa.