05-28
Penentuan tarikh Aidiladha dilaksana petang ini
2025-05-27
HaiPress
Pengisytiharan Hari Raya Korban pukul 8.00 malam ini (Selasa) di TV1,RTM / FB JAKIM
KUALA LUMPUR,27 Mei- Penentuan awal Zulhijah 1446 Hijrah akan dilaksanakan pada petang ini (27 Mei) bermula dengan cerapan hilal rasmi oleh Jawatankuasa Rukyah Hilal Negeri diketuai oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri masing-masing .
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dalam kenyataan berkata cerapan akan dilakukan di 29 lokasi cerapan rasmi di seluruh negara.
Menurutnya,kaedah semasa yang digunakan adalah berpandukan kriteria Imkanur Rukyah yang dipersetujui Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali ke-257 pada 24 dan 25 November 2021.
"Kriteria ini menetapkan bahawa ketika matahari terbenam,ketinggian hilal mestilah tidak kurang daripada 3 darjah dari ufuk dan jarak lengkung (elongasi) antara bulan dan matahari tidak kurang daripada 6.4 darjah. Kaedah ini berkuat kuasa sejak 1443H (2022). " katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Selepas selesai melaksanakan cerapan,Jawatankuasa Rukyah Hilal Negeri akan mengemukakan laporan kenampakan hilal kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja .
Laporan kemudian akan disembah untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum pengisytiharan rasmi permulaan Zulhijah dan tarikh Aidiladha diumumkan kepada rakyat.
Menurutnya lagi,kaedah penentuan Aidiladha di Malaysia adalah berdasarkan cerapan hilal yang dilakukan di dalam negara,dan tidak tertakluk kepada keputusan cerapan hilal di negara lain.
"Pendekatan ini mencerminkan prinsip kedaulatan ilmu,keluhuran institusi,dan kesatuan umat,selaras dengan gagasan Malaysia Madani yang menekankan tadbir urus berteraskan nilai ihsan,integriti dan kebijaksanaan syariah," katanya.