02-21
Institusi kewangan diminta sokong pembangunan kilang pintar PKS
2025-02-21
IDOPRESS
Kerajaan memerlukan sokongan institusi kewangan bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menubuhkan kilang pintar / Foto Hiasan / Bernama
KUALA LUMPUR,20 Februari – Kerajaan memerlukan sokongan institusi kewangan bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menubuhkan kilang pintar dalam usaha mencapai sasaran 3,000 kilang pintar menjelang 2030.
Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Pelaburan,Perdagangan dan Industri (MITI),Datuk Hanafi Sakri berkata pembiayaan besar diperlukan untuk menjayakan inisiatif tersebut.
“Inisiatif pembuatan pintar memerlukan pelaburan yang tinggi. Jika satu syarikat memerlukan RM5 juta,maka secara keseluruhan,kita perlu menggerakkan sekitar RM15 bilion untuk mencapai sasaran. Kerajaan tidak mampu menyediakan geran atau pinjaman dalam jumlah sebesar itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Jelajah MIDF 2025 dan Siri Kedua Anugerah Pembuatan Pintar di ibu negara.
Menurut Hanafi,setakat ini,500 syarikat telah menerima manfaat menerusi dana intervensi di bawah inisiatif Industry4WRD yang dikendalikan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Sementara itu,Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) menyasarkan hampir 3,000 syarikat PKS menyertai program Pembiayaan Sedia Masa Depan (FRF) dan Peningkatan Teknologi Akreditasi Halal (HATI).
Di bawah program tersebut,MIDF memperuntukkan RM300 juta bagi membantu PKS mendapatkan kemudahan pembiayaan,khususnya dalam sektor pembuatan pintar.