Sistem geolokasi amaran bencana kini di fasa akhir pelaksanaan

2024-11-27     HaiPress

Fahmi Fadzil pada forum bertajuk Kisah Kejayaan Idea Malaysia sempena Festival Idea di Putrajaya hari ini/RTM

PUTRAJAYA,27 November- Kementerian Komunikasi memaklumkan bahawa sistem penghantaran notis amaran bencana kini berada di fasa akhir sebelum pelaksanaannya.

Menterinya,Fahmi Fadzil berkata pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti beberapa pilihan dan bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Sistem ini akan menjadi alat komunikasi tambahan yang berfungsi melalui elemen geolokasi. Ia mampu menyampaikan maklumat terus kepada kumpulan individu di kawasan tertentu termasuk maklumat tentang pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya.

Beliau turut berharap sistem tersebut dapat digunakan secepat mungkin bagi membantu penduduk yang terjejas akibat bencana alam seperti banjir.

Sementara itu,berhubung pelaksanaan Garis Panduan Pelaksanaan Solat Jumaat di Johor yang mewajibkan premis milik lelaki beragama Islam ditutup sementara semasa waktu solat,Fahmi menyatakan ia tidak menjadi isu.

"Itu adalah keputusan kerajaan negeri. Jika itu yang ingin dilaksanakan,ia terpulang kepada kerajaan negeri dan saya percaya perkara ini tidak menimbulkan sebarang masalah," ujarnya.

Fahmi berkata demikian selepas mempengerusikan forum bertajuk Kisah Kejayaan Idea Malaysia sempena Festival Idea yang berlangsung di sini hari ini.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.