12-20
Jual telur masin berulat, premis makanan di Sungai Petani diarah tutup
2024-10-17 HaiPress
Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Muda memeriksa premis di Sungai Petani yang menjual telur yang mengandungi ulat/ Foto: Pejabat Kesihatan Kuala Muda
ALOR SETAR,17 Oktober- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengarahkan sebuah premis makanan di Sungai Petani yang tular kerana menjual telur masin mengandungi ulat baru-baru ini diarah ditutup serta-merta.
Pengarah Kesihatan Kedah,Dr Ismuni Bohari dalam kenyataan berkata Perintah Penutupan Premis itu dilaksanakan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
"Pengesahan aduan dilakukan dengan pengadu berkenaan susulan kes yang tular di media sosial.
"Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda menjalankan siasatan lanjut semalam dan mendapati premis berkenaan gagal mematuhi keperluan kebersihan premis makanan,” katanya.
Ismuni berkata satu notis kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 terhadap premis terbabit.
Beliau berkata pemeriksaan semula premis akan dijalankan selepas pemilik dapat mematuhi semua arahan pembersihan dan tindakan pembetulan yang diarahkan oleh PKD Kuala Muda.
“Pihak JKN Kedah akan terus memantau dan akan sentiasa memastikan premis makanan mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan di bawah Akta Makanan 1983 bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang,” katanya.
Terdahulu,tular klip video berdurasi 13 saat yang dikongsi seorang pengguna memaparkan ulat dalam telur ketika dia sedang makan di sebuah premis di Sungai Petani.