12-20
Lawatan rasmi Putera Mahkota Brunei, perkukuh kerjasama dua hala - PM
2024-08-18 berita.rtm.gov.my HaiPress
Foto BERNAMA
PUTRAJAYA,18 Ogos- Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjung hormat dari Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah di kediamannya di Kompleks Seri Perdana,Putrajaya.
Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri tiba pada pukul 11.25 pagi,diiringi isteri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.
Ketibaan Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah disambut Anwar dan isteri,Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Datuk Seri Anwar berkata kunjungan itu memberikan syarat penting kepada negara bahawa kerjasama dua hala di antara Malaysia dan Brunei berada di peringkat paling tinggi.
"Dengan kehadiran Putera Mahkota,itu hanya menunjukkan bahawa separuh kekuatan atau pimpinan Brunei itu tekad untuk bekerjasama. Jadi,kita bincang umpamanya dalam bidang pertahanan dan latihan termasuk bidang industri,teknologi,bidang agama Islam dan Bahasa Melayu."
"Ini semua dibicarakan termasuk memberi ruang kepada anak-anak kita ke Brunei dan anak-anak Brunei ke Malaysia," kata Anwar kepada pemberita,hari ini.
Turut hadir,Menteri Luar,Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan,Adam Adli Abd Halim.
Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah tiba di Malaysia untuk mengadakan lawatan rasmi bermula Sabtu (17/8) hingga 21 Ogos.