05-28
Masalah kesihatan mental punca ramai kanak-kanak, remaja tidak datang sekolah
2025-05-28
IDOPRESS
Dr Nor Rahidah Abd Rahim / BERNAMA
IPOH,28 Mei- Masalah kesihatan mental seperti keresahan,buli,konflik keluarga,dan kemurungan dikenal pasti sebagai punca peningkatan kes tidak hadir ke sekolah dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Malaysia.
Pakar Perunding Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja Hospital Permai Johor Bahru Dr Nor Rahidah Abd Rahim berkata isu ini sering disalah tafsir apabila ramai beranggapan pelajar sekadar "tidak mahu ke sekolah",sedangkan hakikatnya masalah ini berpunca daripada isu psikologi yang lebih serius dan memerlukan rawatan klinikal.
“Kanak-kanak tidak mahu ke sekolah tanpa sebab. Apabila kita selidik,kita sering mendapati isu asas seperti keresahan sosial,serangan panik,kesukaran pembelajaran atau trauma,” katanya pada Persidangan Psikiatri dan Kesihatan Mental Kanak-Kanak dan Remaja Malaysia (M-CHAMP) 2025 di sini semalam.
Dr Nor Rahidah berkata lazimnya punca kepada masalah itu,termasuk keresahan dalam kalangan kanak-kanak,pengaruh rakan sebaya seperti buli,dan cabaran akademik - yang semuanya menjadi lebih ketara sejak pandemik COVID-19.
“Pascapandemik,ramai pelajar bergelut untuk kembali menyesuaikan diri dengan rutin persekolahan. Ada yang berasa terbeban dengan persekitaran sosial yang tidak mereka hadapi selama dua tahun,” katanya sambil menambah bahawa pembelajaran dalam talian turut menyebabkan kebergantungan kepada skrin dan sikap menghindar.
Dr Nor Rahidah berkata enggan hadir ke sekolah sering disalah tafsir sebagai ponteng atau salah laku,menyebabkan kelewatan dalam usaha intervensi dan masalah menjadi semakin serius.
“Ibu bapa dan guru mungkin menganggap anak malas atau ingkar. Tetapi,apabila seorang kanak-kanak menangis,mengadu sakit kepala,atau merayu tidak mahu ke sekolah,lazimnya satu isyarat inginkan bantuan,” katanya.
Beliau meminta supaya memperkukuh lagi kerjasama antara pihak sekolah,keluarga dan penyedia penjagaan kesihatan,selain perlunya sokongan dan usaha pengesanan di peringkat awal.
“Guru perlu dilatih untuk mengenal pasti tanda-tanda amaran. Sekolah juga perlu mempunyai sistem atau prosedur yang mudah untuk merujuk kepada profesional kesihatan mental,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa kanak-kanak yang tidak hadir ke sekolah dalam tempoh yang lama berdepan risiko serius,termasuk kemerosotan akademik,pengasingan sosial dan gejala kesihatan mental yang semakin teruk - dalam sesetengah kes,memerlukan menjalani rawatan di hospital.
Dr Nor Rahidah berkata Hospital Permai,satu daripada hospital yang menawarkan perkhidmatan psikiatri khusus untuk kanak-kanak dan remaja,semakin banyak menerima kes rujukan bagi masalah tidak hadir ke sekolah sekali gus mencerminkan keperluan mendesak untuk pendekatan sokongan serta bantuan yang terancang dan menyeluruh.
“Masalah tidak datang ke sekolah ialah satu wabak senyap. Kita perlu bertindak sekarang dengan mengambil pendekatan yang empati dan bersepadu,” katanya semasa pembentangan bertajuk Unpacking School Refusal: Understanding Its Roots and Psychological Underpinnings.
Persidangan selama tiga hari bertemakan Bloom: Enhancing Child and Adolescent Wellbeing yang berakhir hari ini,menghimpunkan pakar dari seluruh negara untuk berkongsi amalan terbaik dan strategi bagi intervensi awal serta sokongan berasaskan komuniti.- BERNAMA