PEKEMA cadang insentif alternatif susulan penamatan pengecualian cukai EV CBU

2025-12-29     HaiPress

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR,29 Disember - Pemansuhan pengecualian duti eksais dan duti import bagi kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) perlu digantikan dengan insentif alternatif yang mampu merangsang pembelian EV negara.

Pandangan itu disuarakan Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA),Datuk Mohamed Nazari Noordin.

Beliau berkata,sebarang insentif alternatif yang diperkenalkan perlu ditetapkan pada kadar yang munasabah dan berpatutan agar tidak membebankan pengguna serta industri.

"Kami berharap pada tahun hadapan,sekiranya duti import ke atas kenderaan EV dilaksanakan,kadar yang dikenakan adalah pada tahap yang dapat membantu pihaknya meneruskan perniagaan.

"Pada masa sama,kami juga berharap pengecualian duti import ini dapat dilanjutkan memandangkan kadar penggunaan EV di Malaysia masih berada pada tahap yang rendah. Namun,sekiranya pengenaan duti dilaksanakan semula,kami berharap kadar tersebut adalah munasabah dan berpatutan," katanya kepada RTM baru-baru ini.

Tambah beliau,PEKEMA kekal komited untuk terus meneliti peluang membawa masuk jenama-jenama baharu,khususnya dalam segmen kenderaan elektrik,termasuk EV dari China.

Sebelum ini,Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan pengecualian cukai bagi EV CBU yang telah dinikmati sejak 2022 dijadualkan tamat pada 31 Disember 2025.

Menurut laporan,hasil kutipan kerajaan dijangka meningkat sebanyak 2.3 peratus kepada RM12.8 bilion pada tahun hadapan susulan penamatan insentif pengecualian cukai berkenaan.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.