Malaysia-UK terus perkukuh kerjasama iklim, capai karbon sifar bersih menjelang 2050

2025-12-11     HaiPress

Menteri Perladangan dan Komoditi memangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES),Datuk Seri Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR,11 Disember - Malaysia dan United Kingdom (UK) terus memperkukuh kerjasama iklim menerusi pelancaran fasa kedua Malaysia-UK Partnering for Accelerated Climate Transitions (UK PACT) 2.0.

Menteri Perladangan dan Komoditi memangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES),Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan,fasa kedua itu bakal menyokong pembangunan dalam sektor kewangan hijau dan pasaran karbon.

Jelasnya,kerjasama seumpama itu penting ke arah mempercepat peralihan negara ke arah ekonomi hijau dan mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.

"Kerjasama dengan UK adalah sebahagian daripada strategi kita untuk bawa kepada pengetahuan umum betapa pentingnya menjaga kita alam sekitar. Malaysia adalah salah satu daripada negara yang telah terlibat secara langsung dalam libat urus dan memberi komitmen untuk gas rumah hijau yang dijangka dapat dikurangkan menjelang 2025.

"Komitmen kita untuk mengurangkan dalam 20 hingga 30 juta tan metrik Karbon Dioksida (CO2). Jadi,nak turunkan itu banyak strategi yang kita perlu lakukan. Contohnya,kita mahu semua aktiviti ekonomi kita macam sektor tenaga. Apa kita perlu buat adalah kita sasarkan menjelang 2025,daripada total sektor tenaga yang kita ada ini,70 peratus datang dari tenaga boleh diperbaharui," katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran UK Partnering For Accelerated Climate Transition (UK PACT) 2.0 di ibu negara.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuk Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia,Ajay Sharma.

Datuk Seri Johari berpandangan,UK PACT 2.0 tersebut selaras usaha negara melalui pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

UK PACT merupakan program iklim bilateral terbesar UK di Malaysia dan akan menumpukan kepada mempercepatkan kemajuan dalam ekonomi hijau dan pasaran karbon.

Pelancaran UK PACT 2.0 pada hari ini susulan kejayaan fasa pertamanya yang bermula dari 2020 hingga 2023.

Program tersebut memberi tumpuan kepada bidang kritikal seperti industri hijau,mempercepatkan tindakan iklim dan memastikan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan menghadapi perubahan iklim.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.