11-26
Pendapatan e-dagang Malaysia hampiri RM1 trilion
2025-11-26
HaiPress

Malaysia terus mempamerkan kemajuan ketara dalam transformasi digital,apabila pendapatan e-dagang bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun 2025 mencecah RM937.5 bilion/Foto hiasan/RTM
KUALA LUMPUR,26 November – Malaysia terus mempamerkan kemajuan ketara dalam transformasi digital,apabila pendapatan e-dagang bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun 2025 mencecah RM937.5 bilion.
Ketua Perangkawan Malaysia,Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan berkata,jumlah itu meningkat 1.9 peratus berbanding tempoh sama pada 2024.
Menurut beliau,suku kedua 2025 merekodkan pendapatan e-dagang tertinggi sebanyak RM313.8 bilion,manakala suku ketiga mencatatkan sedikit penyederhanaan kepada RM312.6 bilion.
“E-dagang memainkan peranan penting dalam merancakkan aktiviti perniagaan,meluaskan peluang pasaran dan meningkatkan daya saing ekonomi seiring perkembangan landskap digital,” katanya.
Beliau menjelaskan,kepesatan ekonomi digital negara dipacu oleh beberapa faktor utama termasuk pertumbuhan stabil e-dagang,penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang meluas serta pengukuhan infrastruktur komunikasi negara.




Suku kedua 2025 merekodkan pendapatan e-dagang tertinggi sebanyak RM313.8 bilion/Foto hiasan/RTM