11-26
RUU e-dagang bakal dibentang suku pertama 2026
2025-11-26
HaiPress

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,Datuk Dr. Fuziah Salleh/RTM
KUALA LUMPUR,26 November - Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) e-dagang dijangka dibentangkan pada suku pertama 2026,kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,Datuk Dr. Fuziah Salleh.
Beliau menjelaskan,RUU berkenaan merangkumi definisi moden e-dagang,akauntabiliti platform,serta pengukuhan hak pengguna.
"Reformasi ini meliputi definisi moden e-dagang,hak pengguna yang diperkukuh,mekanisme antara agensi yang lebih tersusun,peraturan berkaitan perdagangan berasaskan AI serta pendekatan baharu terhadap urus niaga rentas sempadan," katanya demikian dalam ucapan pembukaan sempena Persidangan E-Dagang ASEAN 2025 di sini,pada Isnin.
Tambah beliau,RUU berkenaan dirancang untuk menyokong inovasi sambil memastikan keadilan dan kepercayaan tetap terpelihara.
Sebelum ini,Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,Datuk Armizan Mohd Ali,memaklumkan bahawa RUU berkenaan menumpukan kepada keperluan mekanisme kawal selia bagi memastikan pengendali platform e-dagang luar negara mematuhi peraturan dan undang-undang Malaysia.
Ia juga bertujuan memastikan perlindungan pengguna dan menyokong perkembangan sektor e-dagang tempatan.



