PM: Malaysia komited perkukuh kerjasama strategik dengan AS

2025-10-31     HaiPress

Perdana Menteri antara pemimpin APEC yang hadir pada AELM di Korea Selata/Foto PMO

GYEONGJU,Korea Selatan,31 Oktober — Malaysia komited memperkukuh kerjasama strategik dengan Amerika Syarikat berlandaskan prinsip keterbukaan,keadilan dan saling menghormati bagi menjamin kestabilan,kemakmuran dan keamanan serantau serta sejagat.

Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim,berkata momentum hubungan erat antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang terjalin semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 diteruskan pada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) kali ini.

“Pertemuan ini memberi ruang bagi perbincangan pelbagai aspek hubungan perdagangan dan kewangan antara kedua-dua negara,termasuk usaha memperkukuh pertalian ekonomi dua hala,” katanya susulan pertemuan dengan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat,Scott Bessent,di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Hwabaek,di sini.

Datuk Seri Anwar berkata,tumpuan turut diberikan kepada komitmen bersama antara Perbendaharaan Amerika Syarikat dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Tumpuan itu bagi memastikan dasar pertukaran mata wang yang berdaya tahan serta kestabilan pasaran kewangan yang kukuh dan berintegriti.

Perdana Menteri turut menghargai peranan dan sumbangan Presiden AS,Donald Trump,dalam memperkukuh kerjasama ekonomi global serta memperluas jaringan pelaburan,perdagangan dan keamanan yang inklusif berasaskan dialog,keadilan dan saling memahami.

Terdahulu,Perdana Menteri disambut Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung yang mengalu-alukan kehadiran semua pemimpin ekonomi APEC,diikuti dengan sesi bergambar.

Antara pemimpinAPEC yang hadir pada AELM kali ini termasuklah Presiden China Xi Jinping,Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Presiden Chile Gabriel Boric.

Malaysia antara 12 anggota pengasas APEC. Negara lain ialah Australia,Brunei,Kanada,Indonesia,Jepun,New Zealand,Filipina,Singapura,Thailand dan Amerika Syarikat.

APEC terdiri daripada 21 ekonomi,yang merangkumi hampir tiga bilion populasi,62 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar global dan 48 peratus perdagangan dunia pada 2021.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.