UM bantu komuniti kampung kitar semula sisa minyak masak

2025-10-31     HaiPress

Program CAKnA UM di Kampung Matang Kenanga,Kedah/UM

KUALA LUMPUR,31 Okt - Selain boleh dijual semula,minyak masak terpakai juga boleh dijadikan sabun malah lebih mesra alam dan bernilai komersial,sekali gus mengelak bahan buangan itu mencemarkan alam sekitar jika dibuang tanpa kawalan.

Bagi memupuk kesedaran itu,sekumpulan pensyarah,pelajar dan kakitangan Fakulti Sains,Universiti Malaya (UM) turun padang ke Kampung Matang Kenanga di Kedah menerusi inisiatif CAKnA (Citra Akademik untuk Komuniti dan Alam).


Program itu dianjurkan bersempena Pesta Sukan Bendang Antarabangsa dengan penglibatan pemimpin setempat,penduduk kampung dan pelajar sekolah.

“Kami ingin mendidik masyarakat bahawa minyak masak terpakai bukan sekadar sisa buangan,tetapi boleh ditukar menjadi produk berguna seperti sabun. Dengan sedikit pengetahuan sains dan kaedah yang betul,amalan ini bukan sahaja menjimatkan tetapi juga menyumbang kepada kelestarian alam sekitar,” jelas Ketua Projek CAKnA,Professor Madya Dr. Siti Nadiah Abdul Halim,

Tambahnya menerusi bengkel interaktif yang dijalankan,peserta didedahkan kepada kaedah menapis dan mengendalikan minyak masak terpakai dengan betul,termasuk langkah-langkah keselamatan serta proses asas pembuatan sabun menggunakan bahan yang mudah diperoleh dan selamat digunakan.


Dalam program tersebut peserta diberi pendedahan mengenai pemilihan minyak masak yang sesuai mengikut jenis masakan,cara menilai kualiti minyak sebelum digunakan semula,serta amalan penggunaan minyak masak yang betul dan sihat.

“Ramai yang sudah maklum tentang bahaya pembuangan minyak ke dalam sinki dan mengamalkan cara pelupusan yang lebih bertanggungjawab. Kami kagum dengan kesedaran yang telah wujud dalam kalangan penduduk kampung.


“Apa yang kami lakukan ialah menambah nilai melalui ilmu sains supaya mereka lebih memahami aspek keselamatan,kesihatan dan peluang keusahawanan yang boleh dibangunkan,” kata Dr. Noordini Mohamad Salleh,penyelidik bersama yang berpengalaman dalam bidang oleokimia.


Program dihadiri Ahli Parlimen Jerlun,Dr. Abd Ghani Ahmad,Majlis Ketua Kampung Matang Kenanga dan pemimpin setempat.

Aktiviti demonstrasi,fasilitasi bengkel,dan interaksi bersama komuniti dijayakan beberapa orang pensyarah dari Jabatan Kimia,Fakulti Sains UM,iaitu Professor Madya Dr. Tan Kong Wai,Dr. Nazzatusshimar,Dr. Siti Jariani dan Dr. Arniza Khairani bersama-sama pelajar pascasiswazah.

Secara keseluruhan projek ini menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,khususnya SDG 12 – Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab,SDG 4 – Pendidikan Berkualiti,dan SDG 8 – Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi.

Penganjuran serentak dengan Pesta Sukan Bendang Antarabangsa turut memberi dimensi unik kepada program ini,apabila sains,budaya dan komuniti disatukan dalam satu platform yang menyeronokkan dan bermakna.

“Kami berharap inisiatif ini dapat diteruskan secara berperingkat melalui kumpulan komuniti yang mampu menjana pendapatan sendiri. Inilah bukti bahawa ilmu sains mampu mengubah cara kita melihat sisa,daripada bahan buangan kepada sumber rezeki,” ujar Dr. Siti Nadiah.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.