Dasar lebih khusus, pacu potensi Ekonomi Biru Sabah

2025-09-11     HaiPress

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah,Dr. Firdausi Suffian

KUALA LUMPUR,10 September- Dasar yang lebih khusus bagi mengembangkan potensi Ekonomi Biru diyakini mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi Sabah.

Langkah itu sekali gus menyumbang kepada pembangunan Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah,Dr. Firdausi Suffian berkata peluang ekonomi negeri itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memenuhi aspirasi Kerajaan Persekutuan di bawah Kerangka Malaysia MADANI serta selaras dengan matlamat pembangunan global (SDG).

"Sabah bukan sahaja kaya dengan sumber semula jadi seperti kelapa sawit,minyak dan gas,tetapi turut memiliki potensi lebih besar dalam ekonomi maritim.

Kawasan daratan negeri berjumlah kira-kira 72,000 kilometer persegi. Namun apabila digabungkan dengan kawasan laut dalam lingkungan batu nautika,keluasan itu menjadi hampir dua kali ganda. Jadi,sumbernya turut menjadi dua kali ganda," kata Dr. Firdausi kepada pemberita RTM,hari ini.

Jelas beliau,Malaysia sebagai sebuah negara maritim mempunyai peluang besar untuk memanfaatkan potensi Ekonomi Biru.

Langkah itu bukan sahaja dapat mengukuhkan kedudukan negara di peringkat global,malah berupaya meningkatkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Menurutnya,sektor maritim telah menyumbang hampir 24 peratus kepada KDNK Sabah dan berpotensi untuk diperkasa lagi bagi memberi impak lebih besar kepada ekonomi negara.

Mengulas mengenai Belanjawan 2026,Dr. Firdausi menegaskan tumpuan khusus perlu diberikan kepada pembangunan Sabah.

“Masih banyak infrastruktur di negeri ini yang memerlukan penambahbaikan,pembangunan semula dan penaiktarafan bagi menyokong ekosistem pelaburan yang lebih berdaya saing,” jelasnya.

Tambah beliau,usaha menambah baik peruntukan pembangunan penting bagi mengekalkan kedudukan Sabah sebagai destinasi pelaburan utama,selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.