09-05
PM seru rakyat hayati ajaran Rasulullah SAW bentuk masyarakat unggul
2025-09-05
HaiPress
Foto FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR,5 September - Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat menghayati ajaran Rasulullah SAW yang meletakkan asas kemadanian berteraskan keadilan,ilmu serta akhlak dalam membentuk masyarakat unggul.
Menerusi perkongsian di Facebook,Perdana Menteri menjelaskan,masyarakat MADANI yang dibentuk Rasulullah SAW di Madinah merupakan khayra ummah atau umat unggul,yang berpegang kepada iman,mengamalkan kebaikan,membawa manfaat kepada kemanusiaan sejagat serta beriltizam menegakkan nilai ma’ruf dan menolak kemungkaran.
"Sewaktu manusia dahaga tauladan dan contoh budiman,sosok Rasulullah SAW menawarkan wawasan dan aspirasi kemanusiaan yang menyerlahkan suara kejujuran serta kejernihan jiwa terus menjadi panduan.
"Rasulullah SAW bukan sekadar peribadi unggul,Baginda juga simbol perpaduan dan pemimpin yang dihubungkan dengan Madinat al-Nabi yang sarat dengan nilai.
"Istilah al-Madinat al-Munawwarah pula mengisyaratkan tamadun kekotaan didasari cahaya (petunjuk wahyu) dan mengakar pada asas tauhid.
"Ia membayangkan aspirasi pembinaan kota sebagai tapak tamadun yang kemudiannya memberi dampak yang besar kepada dunia," katanya.
Tambah Perdana Menteri,penghayatan dan kefahaman mendalam terhadap warisan Baginda wajar menjadi dorongan untuk bekerja lebih kuat,berdisiplin serta optimis dalam memastikan masa depan umat yang lebih cemerlang.