KWSP rekodkan hampir RM15 bilion pengeluaran Akaun Fleksibel

2025-08-14     HaiPress

Sejumlah RM14.79 bilion dikeluarkan daripada Akaun Fleksibel KWSP setakat 30 Jun 2025

KUALA LUMPUR,14 Ogos - Sejumlah RM14.79 bilion dikeluarkan daripada Akaun Fleksibel atau Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak pengenalan akaun itu pada Mei tahun lalu.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF),pengeluaran tersebut melibatkan 4.63 juta pencarum,membabitkan 35 peratus daripada keseluruhan 13.2 juta ahli bawah umur 55 tahun setakat 30 Jun 2025.

"Jumlah baki simpanan keseluruhan Akaun Fleksibel pula berjumlah RM10.16 bilion," menurut MOF dalam dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Ia bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) mengenai kebenaran Pengeluaran Khas KWSP 2025.

MOF dalam kenyataannya turut menjelaskan,pengeluaran khas yang dibenarkan oleh KWSP terdahulu khususnya Akaun Persaraan (Akaun 1) hanyalah bertujuan menangani situasi semasa pandemik Covid-19 dan bersifat sementara.

"Mandat utama KWSP sebagai sebuah institusi perlindungan sosial adalah bagi memastikan kecukupan simpanan persaraan untuk menampung keperluan perbelanjaan ahli di hari tua kelak.

"Ingin ditegaskan,simpanan KWSP terutamanya Akaun 1 bertujuan kegunaan persaraan dan bukanlah sumber bagi penyelesaian jangka panjang kepada cabaran isu kos sara hidupdan status pekerjaan yang bersifat semasa," jelas MOF.

Menurut kementerian,kerajaan juga sentiasa cakna akan cabaran hidup yang dihadapi oleh rakyat.

Sehubungan itu,pelbagai bentuk bantuan seperti tunai langsung,subsidi bersasar dan insentif khas telah diperkenalkan bagi meringankan beban dan memastikan kesejahteraan hidup rakyat terus terpelihara.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.