08-08
Operasi JPJ Selangor: 252 notis, 12 kenderaan disita
2025-08-07
HaiPress
FOTO RTM
SHAH ALAM,7 Ogos – Sebanyak 580 kenderaan diperiksa dalam operasi penguatkuasaan besar-besaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di Plaza Tol Kebun Bunga,hari ini,dengan 252 notis kesalahan dikeluarkan.
Operasi yang melibatkan 60 pegawai penguat kuasa itu memberi tumpuan kepada kesalahan berkaitan Lesen Kenderaan Motor (LKM),insurans,serta pelanggaran teknikal melibatkan motosikal,kenderaan perdagangan,bas awam dan kenderaan persendirian.
Pengarah JPJ Negeri Selangor,Azrin Borhan berkata,antara kesalahan tertinggi direkodkan ialah kenderaan tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans,termasuk satu kes melibatkan pemilik lapan kereta dan lapan motosikal yang semuanya tamat tempoh lebih 10 tahun.
“Tiada lesen memandu sah (CDL) merekodkan 76 kompaun,lesen tamat tempoh 51,tiada insurans 49,tiada lesen GDL lapan,nama pendaftaran lapan,tiada nombor pendaftaran depan dan belakang tujuh,cermin gelap lima serta pelbagai kesalahan kecil lain 10.
“Kita turut menyita lapan motosikal dan empat kereta dengan notis larangan penggunaan kenderaan dikeluarkan ke atas lapan daripadanya,” katanya.
Pemeriksaan turut mengesan penggunaan lampu 'spotlight' tidak mengikut spesifikasi serta motosikal diubah suai dari segi ekzos dan lampu,namun tiada kes modifikasi ekstrem atau pemandu melawan arus direkodkan hasil kawalan strategik di lokasi kritikal.
Operasi dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM),Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan syarikat konsesi lebuh raya,sebagai langkah agresif JPJ memastikan keselamatan jalan raya dan pematuhan undang-undang.
JPJ mengingatkan kesalahan berkaitan LKM tamat tempoh dan ketiadaan insurans boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,termasuk denda sehingga RM2,000,penjara serta hilang kelayakan memegang lesen.