08-08
Malaysia komited tangani isu sempadan maritim dengan Indonesia secara diplomatik
2025-08-05
HaiPress
Menteri Luar,Datuk Seri Mohamad Hasan / Foto Bernama
KUALA LUMPUR,5 Ogos – Malaysia menegaskan komitmen untuk menyelesaikan isu persempadanan maritim dengan Indonesia melalui pendekatan holistik dan damai,tanpa menjejaskan hubungan dua hala yang sedia terjalin erat antara kedua-dua negara.
Menteri Luar,Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beberapa langkah strategik sedang dilaksanakan bagi memuktamadkan sempadan maritim Malaysia-Indonesia,termasuk melalui mekanisme diplomatik,undang-undang dan teknikal yang telah dipersetujui bersama.
“Kerajaan juga memastikan penglibatan Kerajaan Negeri Sabah dalam sebarang keputusan berkaitan kawasan yang bersempadan atau memberi kesan langsung kepada negeri tersebut,di samping melindungi kepentingan strategik dan keselamatan negara,khususnya berkaitan hak sumber asli,kawalan perairan dan pengurusan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Belud di Dewan Rakyat hari ini,berhubung cadangan pembangunan bersama (Joint Development) dengan Indonesia di blok ND 6 dan ND 7,Ambalat.
Sementara itu,mengulas Kenyataan Bersama yang dikeluarkan Perdana Menteri dan Presiden Indonesia pada 27 Jun lalu berkaitan cadangan pembangunan bersama di Laut Sulawesi,beliau memaklumkan perkara tersebut masih berada di peringkat pertimbangan awal.
“Ketika ini kedua-dua negara sedang meneroka kemungkinan kerjasama tersebut,” jelas beliau.
Dalam masa sama,Mohamad Hasan menegaskan kerajaan sentiasa mengambil serius pandangan dan pendirian negeri Sabah bagi memastikan kedaulatan,hak kedaulatan dan kepentingan negara terus terpelihara.