07-31
Alliance Bank jangka RMK13 pacu NETR, teknologi tinggi dan pelaburan infrastruktur
2025-07-31
IDOPRESS
Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Bank Malaysia Bhd,Kellee Kam
KUALA LUMPUR,30 Julai- Alliance Bank Malaysia Bhd menjangkakan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan memberi tumpuan kepada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),pertumbuhan sektor elektronik dan teknologi tinggi,serta pelaburan berterusan dalam infrastruktur.
Ketua Pegawai Eksekutifnya,Kellee Kam berkata fokus terhadap sektor strategik itu akan menyokong pertumbuhan ekonomi dan memberi kesan positif kepada industri perbankan.
“Kami berharap pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-13 akan terus menunjukkan kemajuan seperti yang telah kita lihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Saya percaya sebahagian daripada kemajuan ini adalah hasil gabungan beberapa inisiatif kerajaan untuk membangunkan Malaysia sebagai destinasi bernilai tinggi.
'Kami juga berharap dapat melihat kemajuan dalam NETR,serta pelaburan berterusan dalam infrastruktur demi kebaikan rakyat," kata Kelle Kam dalam sidang media,hari ini.
Beliau ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Alliance Bank ke-43 yang berlangsung di ibu negara.
Mengulas mengenai dasar fiskal baharu,Kellee menjelaskan bahawa masih terlalu awal untuk menilai kesan sepenuhnya memandangkan keadaan ekonomi semasa yang masih tidak menentu.
“Keadaan masih berubah dengan begitu pantas. Banyak perkara masih berada pada peringkat awal kerana terdapat persoalan yang belum terjawab,khususnya berkaitan peningkatan kos menjalankan perniagaan.
Setakat ini,apa yang boleh kami nyatakan ialah pertama,terlalu awal untuk membuat kesimpulan kerana pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) baharu masih di peringkat awal. Kedua,cadangan tarif yang disebut juga belum dimuktamadkan sepenuhnya,justeru masih menjadi satu ketidakpastian,” katanya.
Tambah beliau,penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan baru-baru ini dijangka membantu mengimbangi tekanan kos tersebut,disokong oleh permintaan domestik yang kekal kukuh serta kadar pengangguran negara yang rendah.
Dalam masa sama,semakan semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) oleh Bank Negara Malaysia kepada antara 4.0 hingga 4.8 peratus masih menunjukkan prospek pertumbuhan yang positif,meskipun lebih rendah berbanding jangkaan awal.
Mengenai prospek bank,Kellee berkata Alliance Bank mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati tahun ini dengan menyasarkan pertumbuhan pinjaman antara lapan hingga 10 peratus bagi tahun kewangan 2026.