Pelajar cemerlang orang asli terima tawaran ke Universiti Manchester

2025-07-15     HaiPress

Penerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2024 bagi Kategori Orang Asli dari SMK Tanjong Gemok,Kuala Rompin,Pahang Roziana A/P Tan Beng Hai/ Foto fail/ BERNAMA

KUANTAN,15 Julai - Seorang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) orang asli 2024,telah menerima tawaran menyambung pengajian ke Universiti Manchester,United Kingdom dalam bidang ekonomi dan pengajian sosial.

Roziana Tan Beng Hai,pelajar dari Kampung Mentelung,Rompin,Pahang yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 kini sedang menunggu kelulusan biasiswa daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk meneruskan pengajian ke luar negara.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Gemok itu,permohonan tersebut dibuat menerusi sistem Universities and Colleges Admissions Service (UCAS) selepas melihat peluang tersebut di platform TikTok.

Sebagai persediaan,beliau sedang mengambil ujian kelayakan luar negara International English Language Testing System (IELTS).

“Hujung bulan Jun,saya dapat keputusan. Sekarang saya tengah tunggu biasiswa dan perlu dapatkan surat tawaran tanpa syarat daripada universiti,serta perlu mengambil ujian Bahasa Inggeris,” katanya.

Roziana,daripada suku kaum Jakun itu bercita-cita menjadi pegawai ekonomi bagi membanu meningkatkan ekonomi bangsa,selain membalas jasa ibunya yang bekerja di ladang kelapa sawit.

Sementara itu,seorang lagi pelajar orang asli yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024,Siti Nur Hawani Muhammad Almi juga dari Rompin telah mendapat tawaran menyambung pengajian ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Dato' Razali Ismail di Terengganu pada bulan depan.

Pelajar Sekolah Menengah Agama Al-Hasanah,Felda Keratong yang memperoleh 9A itu,mahu menjadi seorang guru bagi mendidik anak bangsanya menjadi bangsa yang berjaya.

"Memang nak jadi cikgu,sebab terinspirasi daripada guru di sekolah. Saya rasa mengajar ini seronok,sebab di sekolah saya pun ada guru muda SPM,untuk kawan-kawan dan saya dapat semangat dari situ untuk mengajar",ujarnya.

Siti Nur Hawani juga akan memohon biasiswa daripada JAKOA bagi meneruskan pengajian itu.

Kedua-dua pelajar tersebut merupakan antara penerima Anugerah Murid Cemerlang JAKOA SPM dan STPM Tahun 2024 di Kuantan,Pahang yang disampaikan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAKOA,Zamri Mustajap.

Tahun lalu,seramai 552 murid orang asli berjaya memperoleh sekurang-kurangnya satu (1) A dalam SPM. Daripada jumlah itu,seramai 116 orang pelajar telah memperoleh keputusan 5A ke atas. Manakala,33 pelajar telah mendapat keputusan PNGK 2.80 ke atas dalam STPM.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.