07-08
Tarif 25% AS: Pulau Pinang tumpu rundingan & penyesuaian ekonomi
2025-07-08
HaiPress
Majlis Menandatangani Sukuk dan Kerangka Kewangan Mampan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP)
GEORGE TOWN,8 Julai- Pulau Pinang dijangka berdepan impak ekonomi susulan pengumuman tarif import baharu sebanyak 25 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos depan.
Ketua Menteri Pulau Pinang,Chow Kon Yeow berkata,negeri itu menyumbang kira-kira 55 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke AS bagi tempoh Januari hingga Mei 2025,bersamaan RM52 bilion,sekali gus menunjukkan tahap kebergantungan tinggi kepada pasaran negara itu.
"Mesin dan peralatan elektrik menyumbang 77 peratus daripada eksport Pulau Pinang ke Amerika Syarikat,dengan sebahagian besar dipacu oleh industri semikonduktor.
"Walaupun semikonduktor kini dikecualikan daripada tarif,pengenaan tarif sebanyak 25 peratus dijangka memberi kesan kepada ekonomi Pulau Pinang yang sangat bergantung kepada eksport dan terlibat secara mendalam dalam rantaian nilai global.
"Selain itu,perbezaan kadar tarif di seluruh rantau ASEAN boleh mengganggu dinamik perdagangan dan mempengaruhi keputusan pelaburan pada masa hadapan di seluruh rantau ini," katanya.
Chow berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Menandatangani Sukuk dan Kerangka Kewangan Mampan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di sebuah hotel,hari ini.
Hadir sama,Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP,Datuk Ir. K. Pathmanathan.
Terdahulu,Presiden AS,Donald Trump mengumumkan pengenaan tarif import 25 peratus terhadap barangan dari Malaysia,bermula Ogos ini.
Sementara itu,Menteri Pelaburan,Perdagangan dan Industri,Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata,Malaysia tidak akan berhenti berunding dengan pihak pentadbiran AS bagi memastikan negara terus mendapat manfaat dalam hubungan dagang dua hala.