07-03
Peluasan SST: Langkah reformasi fiskal mampan
2025-07-03
IDOPRESS
Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR,2 Julai- Peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa 1 Julai lalu merupakan langkah reformasi fiskal mampan.
Penganalisis Ekonomi di Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF),Profesor Dr Baharom Abdul Hamid berkata,peluasan itu membolehkan kerajaan melaksanakan lebih banyak program pembangunan serta menyediakan subsidi bersasar yang bernilai tinggi.
"Pelaksanaan peluasan skop SST secara berperingkat ini mempunyai beberapa kebaikan. Pertama,ia mengurangkan impak terhadap inflasi.
"Kedua,ia melibatkan barangan dan perkhidmatan premium yang secara relatifnya tidak memberi kesan besar kepada golongan B40.
"Ketiga,ia menyumbang kepada hasil negara untuk tujuan pembangunan,” katanya kepada pemberita RTM di sini.
Tambah beliau,pelaksanaan SST itu masih terbuka untuk sebarang rundingan berkenaan pengecualian,namun perlu disertakan dengan justifikasi dan maklumat yang tepat.
"Jika mereka benar-benar terkesan,lakukan dialog. Saya rasa kerajaan bukanlah jenis yang membuat keputusan yang muktamad tanpa rundingan.
"Kita dapat lihat contohnya apabila ambang pendaftaran SST dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta,serta beberapa barangan dan perkhidmatan seperti rawatan perubatan,'manicure' dan 'pedicure' turut dikecualikan.
"Inilah yang saya maksudkan dengan adanya ruang untuk budi bicara dan perbincangan,” jelasnya.
Tambah beliau,ini terbukti menerusi pengecualian SST ke atas buah-buahan import seperti buah epal,oren,limau mandarin dan kurma,selepas meneliti maklum balas yang diterima oleh rakyat.
Beliau turut optimis kerajaan akan terus responsif terhadap suara rakyat dalam melaksanakan dasar percukaian yang lebih adil dan seimbang.
Sebelum ini,peluasan skop SST telah berkuat kuasa bermula 1 Julai 2025,sebagai langkah memperkukuh kedudukan fiskal negara dan memperluas asas percukaian tanpa membebankan rakyat terbanyak.