JKR tegas tangani penyelenggaraan jalan secara berkala

2025-06-24     HaiPress

Timbalan Menteri Kerja Raya,Datuk Seri Ahmad Maslan / Foto RTM

KUALA LUMPUR,23 Jun – Jabatan Kerja Raya (JKR) memandang serius aduan berkaitan penyelenggaraan jalan dan terus komited memastikan keselamatan pengguna melalui kerjasama rapat dengan agensi serta syarikat konsesi terbabit.

Timbalan Menteri Kerja Raya,Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan dakwaan bahawa JKR hanya bertindak selepas berlaku kemalangan adalah tidak tepat,memandangkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan dilakukan secara berkala dan berjadual.

“Rakyat ramai bercakap kononnya JKR hanya bertindak selepas ada kemalangan. Sebenarnya tidak. Kami dan syarikat konsesi memang ada jadual rondaan dan pemantauan berterusan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan ASEAN TVET Friendly Match 2025 di Pusat Konvensyen CIDB Malaysia,hari ini.

Beliau merujuk dapatan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang menyatakan 80 peratus kemalangan berpunca daripada kecuaian manusia,13 peratus akibat keadaan jalan dan tujuh peratus disebabkan masalah kenderaan.

“Walaupun hanya 13 peratus kemalangan berpunca daripada keadaan jalan,kami tetap ambil tanggungjawab penuh untuk baiki bahagian itu,” tegasnya.

Menurut beliau,terdapat 11 kategori jalan raya di seluruh negara termasuk jalan persekutuan,negeri,kampung,bandaran,ladang dan lebuh raya,yang masing-masing dikendalikan oleh pihak berkuasa serta pemilik berbeza.

“Bagi jalan persekutuan,kita ada sasaran iaitu mana-mana lubang jalan mesti ditampal dalam tempoh 24 jam. Tugas syarikat konsesi termasuk meronda,periksa permukaan jalan,rumput,lampu dan papan tanda,” jelas Ahmad Maslan.

Beliau turut menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi MyJalan untuk menyalurkan aduan berkaitan jalan seperti garisan yang pudar,lampu jalan rosak dan papan tanda tidak jelas.

“Kita amalkan dasar "No Wrong Door Policy". Semua aduan yang diterima melalui MyJalan akan disalurkan kepada pihak berkuasa atau pemilik jalan berkaitan,sama ada JKR,kerajaan negeri atau PBT,” katanya.

Ahmad Maslan menegaskan,pihaknya sentiasa memikul tanggungjawab menjaga keselamatan jalan raya negara dan tidak hanya bertindak selepas tragedi berlaku.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.