Graduan TVET perlu libatkan diri dalam bidang keusahawanan berimpak tinggi

2025-06-24     HaiPress

Foto RTM

KUALA LUMPUR,23 Jun - Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) disaran agar tidak hanya bergantung kepada pekerjaan makan gaji,sebaliknya berani melangkah ke dunia keusahawanan selaras dengan kemahiran yang dimiliki.

Timbalan Menteri Kerja Raya,Datuk Seri Ahmad Maslan berkata,graduan TVET memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang teknikal seperti elektrikal,penyejukan dan penyaman udara,kimpalan,serta bakeri yang sangat berpotensi untuk dimajukan sebagai perniagaan sendiri.

“Graduan TVET sepatutnya menjadi usahawan. Mereka pakar dalam bidang masing-masing. Contohnya elektrik,penyejukan dan penyaman udara dan bakeri. Bidang ini berpotensi jika mereka membuka premis sendiri,” katanya dalam satu sidang media selepas Majlis Perasmian ASEAN TVET Friendly Match 2025 di Pusat Konvensyen CIDB Malaysia,di sini.

Datuk Seri Ahmad yang juga merupakan Ahli Majlis TVET Negara turut menekankan bahawa kerajaan amat serius dalam memperkasa potensi keusahawanan dalam kalangan lepasan TVET. Ia melalui penyediaan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta di bawah Geran Tekno Usahawan TVET yang diumumkan oleh Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas beliau,peruntukan itu bertujuan menggalakkan penyertaan lebih ramai graduan TVET dalam sektor keusahawanan berimpak tinggi,khususnya dalam bidang berteraskan teknologi.

Menerusi peruntukan RM50 juta terbabit,RM40 juta akan disalurkan kepada Majlis TVET Negara bagi program pembangunan dan bimbingan keusahawanan TVET dan RM10 juta diperuntukkan khas untuk TVET Negeri Melaka sebagai negeri perintis.

"Sebagaimana pengumuman Perdana Menteri,dana tersebut menzahirkan kesungguhan kerajaan bagi melahirkan usahawan daripada bidang TVET di negara ini",katanya lagi.

Berkenaan isu pelajar lepasan SPM yang tidak melanjutkan pelajaran,Datuk Seri Ahmad menjelaskan daripada kira-kira 400,000 pelajar SPM setiap tahun,hanya 49 peratus menyambung ke peringkat STPM,diploma atau ijazah,manakala selebihnya berisiko besar terperangkap dalam pekerjaan bergaji rendah tanpa kemahiran.

“Bayangkan 200,000 pelajar hanya ada SPM. Kalau tidak ada kemahiran,mereka akan kekal dalam kelompok B40. Jadi TVET ini sangat penting dan patut dijadikan kerjaya utama,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa TVET bukan pilihan kelas kedua,malah mampu menjanjikan masa depan yang lebih cerah,termasuk pendapatan lebih tinggi berbanding sesetengah lulusan universiti asalkan bidang yang diceburi adalah berkemahiran tinggi.

“Pilih bidang TVET yang betul,seperti Computer Aided Design (CAD) atau Building Information Modelling (BIM). Itu semua kemahiran tinggi dan sangat diperlukan industri,” tambah Datuk Seri Ahmad.

Beliau menegaskan bahawa persepsi terhadap TVET perlu diubah daripada sekadar laluan alternatif kepada pilihan utama yang mampu menghasilkan usahawan berjaya serta menyumbang kepada ekonomi negara.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.