Penstrukturan tarif elektrik beri penjimatan hampir 19 peratus pengguna domestik

2025-06-23     IDOPRESS

Penstrukturan tarif elektrik beri penjimatan hampir 19 peratus pengguna domestik / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR,22 Jun – Penstrukturan semula tarif elektrik yang diumumkan baru-baru ini dijangka memberi manfaat ketara kepada pengguna domestik,apabila kadar purata tarif diturunkan daripada 45.62 sen kepada 45.40 sen bagi setiap kilowatt jam (kWh),sekali gus membawa kepada penjimatan hampir 19 peratus.

Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan,Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahamad berkata inisiatif tersebut dijangka memberikan penjimatan antara RM10 hingga RM15 setiap bulan kepada pengguna,bergantung kepada kadar penggunaan elektrik isi rumah masing-masing.

“Walaupun jumlah penjimatan itu mungkin kelihatan kecil,hakikatnya ia memberi impak positif terhadap perbelanjaan bulanan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri,Kota Media,hari ini.

Mengulas lanjut,Dr. Bashir menyifatkan langkah kerajaan itu sebagai satu tindakan berani kerana ia dijangka memberi kesan langsung terhadap hasil pendapatan Tenaga Nasional Berhad (TNB),termasuk pengurangan dalam kutipan cukai daripada syarikat utiliti utama negara tersebut.

Bagaimanapun,katanya,kerajaan dilihat sanggup mengambil risiko berkenaan demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Beliau menambah,penstrukturan baharu itu bukan sahaja memperkenalkan tarif yang lebih adil dan telus,malah menekankan pendekatan yang lebih inklusif agar tidak membebankan pengguna domestik.

Langkah tersebut,ujarnya,selari dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk menambah baik kebajikan rakyat menerusi pelaksanaan reformasi ekonomi yang progresif.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.