06-24
Festival Tradisi pacu pelancongan baharu Changloon
2025-06-23
IDOPRESS
Festival Tradisi boleh dijadikan acara tahunan dan produk baharu pelancongan untuk Changloon dalam usaha menjayakan Transformasi Pelancongan di bawah Projek Transformasi Changloon / Foto UUM
CHANGLOON,23 Jun – Penganjuran Festival Tradisi secara tahunan di Kampung Tradisi adalah selaras dengan inisiatif Transformasi Pelancongan di bawah Projek Transformasi Changloon (CTP) iaitu menawarkan produk pelancongan baharu kepada pengunjung.
Pengarah Pusat Pengujian,Pengukuran dan Penilaian (CeTMA) Universiti Utara Malaysia (UUM),Prof. Madya Dr. Masnita Misiran berkata,festival tersebut mempunyai keunikan dan kekuatan tersendiri untuk dijadikan salah satu tarikan pelancong ke Changloon.
“Di bawah Transformasi Pelancongan yang dirangka untuk CTP,Festival Tradisi mengintegrasikan elemen akademik,budaya,keusahawanan dan kerohanian untuk menjadi agen perubahan komuniti menerusi pendidikan yang transformatif dan bersifat holistik.
"Penganjuran pertama festival melibatkan kerjasama UUM dan komuniti pada 13-14 Jun lalu di Dataran Kampung Tradisi. Kita dapati,Festival Tradisi mampu memacu pembangunan sosioekonomi masyarakat Changloon melalui penganjuran acara berasaskan komuniti,”katanya.
Penganjuran program rintis Festival Tradisi oleh Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan,Hospitaliti dan Acara (STHEM),Event Management Training,Research,Activities and Consultancy (EMTRAC),CeTMA dan komuniti Kampung Tradisi,berjaya menarik ramai pengunjung untuk mengikuti pelbagai program yang disediakan.
Antara segmen menarik yang disediakan adalah sukan rakyat,demonstrasi masakan tradisional,pertandingan pakaian tradisional,program kitar semula,Pertandingan Master Chef Warisan Kubang Pasu dan pelbagai acara menarik lain.
Festival turut menggabungkan elemen keusahawanan dengan menyediakan pusat jualan dan pameran produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang membolehkan pengusaha menawarkan produk IKS Changloon kepada pengunjung.
Acara kemuncak pada sebelah malam adalah penganjuran Kubang Pasu Berselawat dengan tema solidariti kepada Palestin yang mendapat sokongan dan penajaan Pusat Islam UUM.
Menurut salah seorang pengunjung,Muhammad Sollehudin Md Nadzir,penganjuran Festival Tradisi disambut baik oleh komuniti Changloon kerana bermatlamat meningkatkan sosioekonomi penduduk.
“Sebagai warga komuniti Changloon,saya benar-benar teruja melihat kejayaan penganjuran Festival Tradisi yang boleh dijadikan salah satu produk pelancongan kepada daerah ini. Seperti kita tahu,Changloon merupakan salah satu laluan pintu masuk ke Thailand dan ini membuka pelbagai peluang dalam bidang pelancongan tempatan,” jelas beliau.
Azizah Ibrahim pula berkata,Festival Tradisi merupakan satu wadah kepada usaha pemberdayaan komuniti melalui kerjasama strategik dengan institusi pendidikan tinggi yang sangat wajar disokong sepenuhnya.
“Bagi penduduk Changloon,penganjuran festival ini memberi nilai ekonomi kepada komuniti selain dapat memupuk semangat muafakat dan pada masa memperkukuhkan jati diri warisan budaya tempatan.
"Saya mengikuti pelbagai acara sepanjang berlangsung festival dan saya pasti,penganjur akan sentiasa menambah baik perjalanan program supaya ia dapat diangkat sebagai produk pelancongan Changloon,” katanya.
Bagi Siti Nazirah Md Nadzir pula,beliau teruja melihat kepelbagaian produk IKS yang dipamer dan dijual ketika Festival Tradisi 2025 yang memperlihatkan potensi IKS di daerah Changloon.
Selain itu,penganjuran festival ini memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) antarabangsa iaitu menyediakan pendidikan berkualiti,menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan penyediaan peluang pekerjaan dan pembinaan komuniti mampan.
Ia juga menepati SDGs bagi kategori pengeluaran dan pengunaan bertanggungjawab serta mencerminkan perkongsian strategik untuk pembangunan.
CTP dilancarkan pada Januari 2025 bermatlamat memperkasa komuniti Changloon menjadi Komuniti Berpengetahuan serta memiliki pemikiran progresif.
Pelaksanaan program dibuat berdasarkan strategi-strategi yang telah digariskan dalam tempoh 10 tahun mengikut perancangan strategik CTP.
Bagi tahun pertama hingga lima,rangka kerja CTP memberi tumpuan kepada usaha membina asas yang fokus kepada pemerkasaan pendidikan,keterlibatan komuniti dan merintis pelbagai projek transformasi.
Manakala,bagi tahun keenam hingga sepuluh pula,CTP akan berusaha memanfaatkan asas-asas yang telah dibina untuk mengintegrasikan sepenuhnya teknologi moden dan amalan lestari dalam kalangan komuniti Changlun.
Di bawah Transformasi Pelancongan,CTP mahu membangunkan sektor ekopelancongan Changlun untuk menjadikannya lebih menarik kepada pelancong yang seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Rangka kerja CTP menjangka peningkatan bidang ini akan meningkatkan lagi kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa,mewujudkan bidang pelancongan yang mapan serta meningkatkan keterlibatan komuniti dalam sektor itu.