Malaysia berpeluang muncul sebagai hab inovasi startup utama Asia Tenggara - Penganalisis

2025-06-17     IDOPRESS

Foto RTM

KUALA LUMPUR,14 Jun – Penyenaraian Kuala Lumpur sebagai salah satu daripada 20 Ekosistem Startup membangun terbaik dunia dalam Laporan Ekosistem Startup Global (GSER) 2025 dilihat bukan sekadar pengiktirafan simbolik,malah berupaya menjadi pemangkin strategik kepada perubahan landskap teknologi dan ekonomi Malaysia.

Menurut penganalisis korporat dan perniagaan,Mohamad Faisal Abdul Malik,pengiktirafan antarabangsa itu diyakini akan meningkatkan keyakinan pelabur,termasuk pelabur runcit dan institusi,sekali gus menjana kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) serta melonjakkan reputasi Malaysia dalam penarafan daya saing global.

“Penyenaraian ini adalah satu validasi antarabangsa yang menandakan ekosistem startup negara sedang memasuki fasa kematangan dan berpotensi tinggi. Jika dimanfaatkan secara holistik,Malaysia berpeluang muncul sebagai hab inovasi startup utama di Asia Tenggara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut,beliau berkata antara faktor yang mengukuhkan ekosistem startup Malaysia adalah ketersediaan pelbagai akses pembiayaan alternatif,termasuk modal teroka,pembiayaan ekuiti,platform P2P,dan pembiayaan pra-IPO,hasil inisiatif agensi seperti Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti.

“Kita tidak lagi terlalu bergantung kepada institusi kewangan arus perdana,malah telah membuka jalan kepada model pembiayaan lebih fleksibel,” ujarnya.

Selain itu,penguasaan bahasa Inggeris dan tahap celik digital yang tinggi dalam kalangan tenaga kerja turut memberi kelebihan daya saing kepada Malaysia berbanding negara serantau seperti Vietnam dan Thailand.

Dalam perkembangan berkaitan,beliau menyarankan agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) memainkan peranan lebih aktif dalam menyokong ekosistem startup.

“GLC bukan sahaja perlu menjadi penyedia inkubator,malah harus membuka akses pasaran eksport menggunakan jaringan antarabangsa yang dimiliki. Bayangkan jika GLC kita yang beroperasi di luar negara membantu startup tembusi pasaran global,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar fasiliti sedia ada seperti Cyberjaya,KL Digital Valley,Penang Innovation Hub,dan hab R&D lain diperhebat dengan membuka ruang kepada kerjasama serta pembiayaan antarabangsa.

“Langkah ini mampu menarik startup luar negara menubuhkan cawangan di Malaysia dan membina jaringan strategik yang melimpahkan manfaat kepada ekonomi serta peluang pekerjaan,” jelasnya.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.