Bekas Presiden MIC, G. Palanivel meninggal dunia

2025-06-17     HaiPress

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR,17 Jun - Bekas Presiden MIC yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar,Datuk Seri G. Palanivel,76,meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada 8.00 pagi tadi.

Perkara itu disahkan Naib Presiden MIC,Datuk T. Murugiah.

Dilahirkan pada 1 Mac 1949 di Pulau Pinang,Palanivel memulakan kerjaya sebagai Pegawai Penyelidik di Muzium Negara menerusi Projek Lembah Bujang pada 1973 sebelum menyertai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sebagai wartawan kanan pada April 1977.

Pada 1984,beliau dilantik sebagai penyunting bagi berita dalam negeri dan ekonomi agensi berita itu sebelum dipinjamkan sebagai setiausaha akhbar kepada Menteri Kerja Raya Tun S. Samy Vellu dari 1987 hingga 1990.

Mendiang aktif dalam politik menerusi MIC sejak awal 1970-an dan mula bertanding dalam Pilihan Raya Umum pada 1990.

Beliau memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada Pilihan Raya Umum 1990 dan kekal sebagai wakil rakyat di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sebelum tewas pada 2008.

Palanivel kembali ke Parlimen pada 2013 sebagai wakil rakyat bagi kawasan Cameron Highlands. -BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.