06-13
Hakisan tebing tanah di Kampung Kuala Wook akan segera dibaiki
2025-06-12
HaiPress
Hakisan tanah di Kampung Kuala Wook / Foto RTM
GUA MUSANG,12 Jun -Tebing tanah di Kampung Kuala Wook,Gua Musang,Kelantan akan segera dibaiki,berikutan ancaman hakisan berdekatan rumah penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri,Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata,kawasan tersebut melibatkan dua keluarga dengan 14 penghuni masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar.
Kejadian tebing tanah terhakis dan runtuh turut merosakkan tanaman pokok pisang dan ubi kayu yang diusahakan penduduk kampung.
Mohd Azmawi Fikri berkata,pihaknya bersama wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah melakukan lawatan ke rumah keluarga masyarakat Orang Asli terlibat bagi menyelesaikan masalah itu.
Ketika ini penduduk risau hakisan tebing semakin teruk.
"Semestinya perlu dibaik pulih dengan segera kerja-kerja kerana kalau masuk bulan 8 atau 9 hujan dijangka terlalu kerap. Mungkin hakisan ini akan bergerak dan mengakibatkan rumah di sini runtuh dibawa oleh air.
"Alhamdulillah pihak JAKOA pun telah memberi maklum balas dan kita akan usahakan kerja pembaikan secepat mungkin." kata Mohd Azmawi Fikri.
Menurut penduduk Hairi Pandak,ketika kejadian,hujan menyebabkan paras sungai belakang rumahnya meningkat setinggi empat meter dan telah menghakis tebing tanah.
Hairi mencadangkan pembinaan benteng.
"Kalau boleh cuba usaha buat benteng sebab kalau tebing runtuh memang air masuk dalam. Rumah habislah. Kita harap JAKOA atau yang berhormat buat benteng supaya air tidak masuk dalam dan tambak tanah." katanya.
Seorang lagi pemilik rumah di kampung tersebut Salmah Awang berkata,"Saya sukar tidur pada waktu malam,kerana risau secara tiba-tiba tanah runtuh,lagi-lagi apabila hujan."
Terdapat lebih 300 penduduk Orang Asli di Kampung Kuala Wook.