05-28
Pelabuhan Darat Perlis bakal beroperasi suku ketiga tahun ini
2025-05-27
IDOPRESS
Foto Ihsan Istana Arau
PADANG BESAR,27 Mei – Projek logistik berimpak tinggi,Pelabuhan Darat Perlis (PIP) yang terletak di Lembah Chuping dijangka siap dan memulakan operasi menjelang suku ketiga tahun ini.
PIP merupakan inisiatif strategik yang menggabungkan mod pengangkutan rel dan jalan raya bagi memperkukuh hubungan perdagangan rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand yang dijangka meletakkan Perlis sebagai hab logistik utama di Asia Tenggara,khususnya dalam pengangkutan berasaskan rel.
Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Mutiara Perlis Sdn Bhd,Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad PIP merupakan satu-satunya pusat kargo intermodal rentas sempadan di Malaysia yang menyambungkan laluan perdagangan serantau menerusi Jaringan Rel Pan-Asia hingga ke China.
“Kedudukan strategik PIP dijangka menarik aliran kargo dari Bangkok,Vientiane dan Wilayah Selatan China,seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh aktiviti perdagangan serantau,” katanya.
Projek tersebut dibangunkan menerusi kerjasama sektor awam dan swasta,selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-12 dan Dasar Pengangkutan Negara 2030 yang mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh infrastruktur logistik negara secara mampan dan berdaya saing di peringkat global.
Dalam satu lawatan ke tapak projek,Raja Muda Perlis,Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan meninjau perkembangan pelaksanaan komponen luaran PIP,termasuk jalan berikat,susur rel dan jejambat yang dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Baginda turut melawat komponen dalaman projek seperti yad kontena dan yad kereta api yang dibangunkan oleh Mutiara Perlis Sdn Bhd,iaitu syarikat usaha sama antara Kerajaan Negeri Perlis dan sektor swasta.
Selain itu,Tuanku Syed Faizuddin Putra turut meluangkan masa melawat Pos Polis Gerakan Am yang baharu di laluan berikat PIP serta menyantuni anggota keselamatan yang bertugas di lokasi tersebut.