Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

2025-05-27     HaiPress

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR,27 Mei- Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS hari ini,didorong oleh kelemahan berterusan dolar AS dalam keadaan peningkatan kebimbangan mengenai trajektori fiskal Amerika Syarikat (AS) dan dasar perdagangan yang tidak konsisten.

Pada pukul 8.05 pagi,ringgit meningkat kepada 4.2050/2250 berbanding dolar AS daripada 4.2155/2220 semasa ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) meneruskan aliran penurunan,dengan menyusut kepada 98.934 mata berikutan pelabur semakin berhati-hati terhadap hala tuju dasar perdagangan AS di bawah Presiden Donald Trump.

"Penangguhan pelaksanaan tarif sebanyak 50 peratus ke atas barangan Kesatuan Eropah sehingga 9 Julai 2025 menunjukkan ketidakpastian pendirian perdagangan pentadbiran Trump sekali gus menjejaskan keyakinan terhadap dolar AS.

“Selain itu,pendekatan fiskal pengembangan yang dijangka meluaskan lagi defisit fiskal AS dan meningkatkan paras hutang negara turut menjejaskan lagi sentimen terhadap aset AS,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata sehubungan itu mata wang pasaran sedang pesat membangun termasuk ringgit terus menokok,disokong oleh aliran masuk modal yang lebih baik dan peningkatan minat risiko.

“Trend pasaran menunjukkan ringgit boleh mengekalkan momentum positif dalam tempoh terdekat,terutamanya jika AS mengekalkan sentimen dasar semasanya,” katanya.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia menokok berbanding euro kepada 4.7903/8131 daripada 4.7972/8046,melonjak berbanding pound Britain kepada 5.7058/7329 daripada 5.7175/7263,dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9500/9643 daripada 2.95506 pada Isnin.

Mata wang tempatan itu diniagakan lebih tinggi daripada mata wang rakan anggota ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2757/2915 daripada 3.2826/2879,mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.8992/9745 daripada 12.9231/9466,menokok berbanding peso Filipina kepada 7.58/7.63 daripada 7.60/7.62 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 258.7/260.1 daripada 259.4/259.9,sebelumnya.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.