05-28
Dihurung lipas, MBPP arah kompleks medan selera ditutup
2025-05-27
HaiPress
Foto Majlis Bandaraya Pulau Pinang
GEORGE TOWN,26 Mei- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan sebuah kompleks medan selera di daerah Barat Daya dekat sini ditutup 14 hari bermula hari ini selepas mendapati kawasan penyediaan makanan dan dapur premis itu dipenuhi lipas.
MBPP dalam kenyataan di Facebook memaklumkan menerusi Operasi Kebersihan Premis Makanan yang dijalankan itu,pihaknya mendapati tahap kebersihan premis berkenaan kurang memuaskan iaitu berada di bawah standard yang ditetapkan.
"Kompleks medan selera tersebut telah dikenakan tindakan penutupan premis serta-merta selama 14 hari berkuat kuasa hari ini hingga 8 Jun nanti mengikut Undang-Undang Kecil 38 (1),Undang-Undang Kecil (Establisymen Makanan) MPPP 1991.
"Dalam operasi itu juga antara aspek yang diberi perhatian adalah syarat-syarat pelesenan yang ditetapkan oleh MBPP seperti lesen perniagaan sah laku tempoh,kebersihan premis,pematuhan pengendali makanan dan sebagainya," menurut kenyataan itu.
MBPP memaklumkan pihaknya sentiasa menitikberatkan kebersihan premis makanan bagi memastikan keterjaminan penyediaan makanan kepada pelanggan berada di tahap yang mencapai piawaian.-BERNAMA