05-28
Malaysia-Kuwait perkukuh kerjasama perdagangan minyak, gas
2025-05-27
HaiPress
Malaysia,Kuwait sepakat perkukuh hubungan dua hala dalam sektor strategik/Foto Facebook PMO
KUALA LUMPUR,26 Mei – Malaysia dan Kuwait komited memperkukuh hubungan dua hala menerusi kerjasama strategik dalam sektor perdagangan dan pelaburan,khususnya membabitkan industri minyak dan gas,pertahanan serta pendidikan.
Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu disepakati dalam sesi perbincangan bersama Putera Mahkota Negara Kuwait,Sheikh Sabah Al-Khaled Al-Hamad Al-Sabah susulan pertemuan beliau dengan Premier China,Li Qiang di ibu negara.
“Pertemuan ini menzahirkan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Kuwait,khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan yang berkaitan dengan sektor minyak dan gas,pertahanan serta pendidikan,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata,kedua-dua pihak turut berbincang mengenai potensi kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa dalam perkara yang berkepentingan bersama.
“Saya yakin hubungan erat sedia ada antara Malaysia dan Kuwait akan terus diperkasa ke tingkat yang lebih tinggi demi manfaat bersama kedua-dua negara,Insya-Allah,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar bertemu Putera Mahkota Negara Kuwait,Sheikh Sabah Al-Khaled Al-Hamad Al-Sabah di KLCC/Foto Facebook PMO
Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Khaled tiba di Kuala Lumpur pada 10.20 semalam bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan buat julung kalinya.
Beliau mewakili Amir Kuwait Sheikh Meshal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah mengetuai delegasi negara itu ke mesyuarat peringkat tinggi berkenaan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini dan esok.
Tahun ini menandakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN sepanjang sejarahnya sebagai anggota blok serantau itu,setelah mempengerusikannya sebelum ini pada 1977,1997,2005 dan 2015.