Ringgit ditutup lebih tinggi berikutan kebimbangan terhadap dasar fiskal AS

2025-05-26     IDOPRESS

Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama serta serantau pada Jumaat / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR,23 Mei - Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama serta serantau pada Jumaat berikutan dolar AS kekal lemah di tengah-tengah kebimbangan berterusan terhadap dasar fiskal AS.

Pada 6 petang,ringgit melonjak kepada 4.2285/2345 berbanding dolar AS daripada 4.2705/2765 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd,Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tindakan Dewan Perwakilan AS meluluskan rang undang-undang cukai dan perbelanjaan yang menyeluruh telah menyebabkan kebimbangan terhadap prospek kredit AS.

“Ini sepadan pula dengan penurunan penarafan kredit berdaulat kerajaan AS oleh Moody’s Ratings baru-baru ini,” katanya kepada Bernama.

Ringgit juga diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama ketika ditutup.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7072/7153 daripada 5.7212/7292 semalam,meningkat berbanding euro kepada 4.7985/8053 daripada 4.8218/8286 dan menokok berbanding yen Jepun kepada 2.9502/9546 daripada 2.9768/9812.

Mata wang tempatan itu turut diniagakan tinggi berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.

Ringgit melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.2891/2940 daripada 3.3061/3110 semalam,mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9744/13.0012 daripada 13.0000/0254 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.65/7.66 daripada 7.68/7.69.

Ringgit naik berbanding rupiah Indonesia kepada 260.7/261.1 daripada 261.5/262.0.-BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.