Malaysia unggul di Paris: Siti Hajar Mahmud rangkul kejuaraan urutan antarabangsa

2025-05-26     IDOPRESS

FOTO FB Buletin KEMAS Kedah

PARIS,26 Mei- Malaysia terus mencipta sejarah di pentas dunia apabila Pemaju Masyarakat Jahitan KEMAS Parlimen Kubang Pasu,Siti Hajar Mahmud,dinobatkan sebagai juara tunggal dalam kategori Best Wellness & Relaxation Massage (International Division) di Kejohanan Urutan Eropah 2025 yang berlangsung di Paris,Perancis.

Kemenangan itu cukup bermakna kerana kategori tersebut merupakan satu-satunya kategori campuran yang menghimpunkan peserta lelaki dan wanita dari pelbagai negara.

Hanya seorang pemenang dipilih daripada ratusan peserta dan Malaysia membuktikan kehebatannya melalui sentuhan profesional Siti Hajar yang menepati standard antarabangsa.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook Buletin KEMAS Kedah,pencapaian itu menjadi kebanggaan bukan sahaja buat Siti Hajar,tetapi turut mengharumkan nama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Malaysia di persada dunia.

"Meskipun beliau bertugas sebagai Pemaju Masyarakat dalam bidang jahitan,minat serta penglibatan aktifnya dalam bidang Dandanan Diri (Penjagaan Kesihatan) telah menyerlahkan potensi sebenar beliau,sekali gus membanggakan seluruh warga KEMAS dan memberi inspirasi kepada peserta-peserta kelas terutamanya dalam kalangan masyarakat luar bandar," menurut hantaran tersebut.

Ibu kepada empat anak yang berasal dari Changlun,Kedah itu sebelum ini telah terpilih mewakili negara bersama 15 lagi peserta Malaysia dalam kejohanan berprestij berkenaan.

Beliau menyertai dua kategori utama; Asian Massage dan SPA & Wellness dan berjaya menonjolkan kehebatan dalam kategori Wellness & Relaxation Massage dengan kemahiran yang luar biasa.

"Seluruh warga KEMAS mengucapkan tahniah dan syabas kepada Siti Hajar atas kejayaan ini. Semoga pencapaian gemilang ini menjadi inspirasi kepada semua Pemaju Masyarakat dan komuniti KEMAS di seluruh negara untuk terus melakar kejayaan di peringkat antarabangsa".

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.