05-28
Penilaian APSC lindung warga ASEAN, keselamatan serantau
2025-05-26
IDOPRESS
Datuk Seri Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR,25 Mei- Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) sedang menilai tahap pelaksanaan serta keberkesanan APSC untuk melindungi kesejahteraan warga ASEAN serta memastikan kemakmuran dan keselamatan serantau.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata,kajian itu penting bagi mengenal pasti pencapaian,cabaran,serta ruang penambahbaikan sebagai sebahagian daripada persiapan untuk kajian akhir sebelum pelan tersebut dilaksanakan.
"Hasil daripada kajian ini akan menjadi asas penting dalam merangka pelaksanaan Pelan Strategik APSC 2045,selari dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 yang akan diterima pakai oleh para Pemimpin ASEAN esok," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pembukaan Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) ke-29 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di ibu negara.
Mesyuarat yang juga dipengerusikan Datuk Seri Mohamad itu juga merupakan salah satu mesyuarat peringkat menteri luar yang diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Menerusi mesyuarat berkenaan,Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Timor-Leste telah bertukar pandangan mengenai perkembangan terkini dalam badan-badan sektoral bawah tonggak APSC.
Datuk Seri Mohamad turut memaklumkan bahawa kadar pelaksanaan semasa Pelan Induk APSC 2025 berada pada tahap 99.6 peratus.
"Usaha-usaha ini terus menyumbang secara bermakna kepada matlamat pembinaan Komuniti ASEAN dan integrasi serantau. Laporan Majlis APSC yang dikemukakan hari ini mencerminkan keluasan dan kedalaman usaha kolektif kita.
"Turut memberangsangkan,sepanjang tahun lalu,badan-badan sektoral APSC telah melaksanakan langkah-langkah konkrit untuk memperkukuh daya tahan serantau terhadap kejutan luar," katanya lagi.
Pelan Induk tersebut terus menjadi rangka kerja penting dalam memperkukuh struktur politik dan keselamatan ASEAN,memupuk kesepaduan serantau serta membina kepercayaan strategik di seluruh rantau.
Dalam mengorak langkah ke hadapan,ASEAN kekal komited untuk memajukan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 dan memuktamadkan Pelan Strategik APSC yang seterusnya.
Perkara itu sekali gus akan merintis laluan pragmatik dan futuristik dalam memperkukuh peranan ASEAN di peringkat serantau dan antarabangsa.