Ringgit dibuka tinggi didorong sentimen positif, spekulasi perjanjian perdagangan

2025-05-06     IDOPRESS

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini,disokong oleh sentimen positif ke atas mata wang tempatan / Foto Hiasan / Fail

KUALA LUMPUR,6 Mei - Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini,disokong oleh sentimen positif ke atas mata wang tempatan,kata seorang penganalisis.

Pada pukul 8 pagi,ringgit naik kepada 4.1835/2035 berbanding dolar AS daripada 4.1990/2035 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd,Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata nampaknya terdapat spekulasi bahawa tawaran perdagangan berpotensi untuk dicapai kerana kejutan tarif Amerika Syarikat (AS) mungkin menjejaskan pertumbuhan ekonomi AS dengan teruk.

“Sehubungan itu,kami menjangkakan ringgit kekal kukuh berbanding dolar AS hari ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) terus kekal di bawah paras 100 mata pada 99.831 walaupun bacaan Indeks Institut Pengurusan Bekalan (ISM) AS yang lebih baik daripada jangkaan untuk sektor perkhidmatan yang meningkat kepada 51.6 mata pada April (Konsensus: 50.2 mata).

Sementara itu,sentimen pasaran turut disokong oleh Sidang Khas Parlimen mengenai tarif AS yang diadakan semalam,kerajaan menyatakan kesediaannya untuk mengambil langkah perlu bagi mengurangkan kesan kejutan tarif dilaksanakan oleh Presiden AS Donald Trump.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia naik berbanding yen Jepun kepada 2.9111/9252 daripada 2.9192/9225 ketika ditutup pada Isnin,meningkat berbanding euro kepada 4.7320/7546 daripada 4.7629/7680 sebelum itu dan melonjak berbanding pound Britain kepada 5.5595/5860 daripada 5.5868/5928 sebelumnya.

Sementara itu,ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Unit tempatan tinggi berbanding dolar Singapura pada 3.2410/2573 berbanding 3.2644/2682 ketika ditutup pada Isnin dan menambah berbanding baht Thailand kepada 12.6942/7692 daripada 12.7497/7747.

Dalam pada itu,ringgit menambah berbanding peso Filipina kepada 7.50/7.54 daripada 7.53/7.54 ketika ditutup pada Isnin dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 254.1/255.5 daripada 255.1/255.5 sebelum itu.-BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.