Putra Heights: Selangor tawar 100 rumah sewa serendah RM850

2025-04-15     IDOPRESS

Kediaman penduduk yang musnah akibat kebakaran di Putra Heights pada 1 April lalu/Foto JaPen

SUBANG JAYA,14 April- Kerajaan Selangor membuka pendaftaran bagi 100 unit rumah sewa khas selama empat hari bermula hari ini khusus untuk penduduk terjejas akibat kebakaran paip gas di Putra Heights baru-baru ini.

Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri,Datuk Borhan Aman Shah berkata inisiatif itu dilaksanakan melalui kerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri,Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

"Rumah sementara yang ditawarkan terletak di Kota Warisan,Sepang dengan keluasan 1,000 kaki persegi,mengandungi tiga bilik dan dua bilik air. Rumah ini adalah unit baharu dengan kadar sewa bermula serendah RM850 sebulan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan taklimat tawaran rumah sementara kepada penduduk terjejas di Masjid Putra Heights,di sini,hari ini.

Tambah beliau,proses penyerahan kunci boleh dilakukan seawal Rabu ini sekiranya pendaftaran dibuat segera.

Sementara itu,penduduk yang hadir menyambut baik tawaran berkenaan dan menyifatkan inisiatif tersebut sebagai langkah tepat dan membantu mereka yang kehilangan tempat tinggal.

"Keluasan rumah itu berbaloi dengan sewa yang ditawarkan. Tambahan pula kerajaan negeri memberikan rebat sebanyak RM2,000,jadi ini sangat membantu," kata Nur Hafidah Ajis Tanjung.

Seorang lagi penduduk,Ahmad Majidi Taufik berkata dia mengambil langkah mendaftar awal kerana bimbang unit ditawarkan akan habis dalam masa terdekat.

"Kalau daftar awal,senang. Nanti kalau habis,susah pula. Jadi lebih baik kita bersedia," katanya.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.