04-18
Pak Lah alami masalah pernafasan sebelum meninggal dunia - IJN
2025-04-15
IDOPRESS
Pak Lah disahkan meninggal dunia pada pukul 7.10 malam tadi di IJN
KUALA LUMPUR,14 April –Perdana Menteri kelima,Tun Abdullah Ahmad Badawi,85,dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN),selepas mengalami masalah pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 7.10 malam tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif IJN,Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Ezani Md Taib berkata,Allahyarham ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Jantung (CCU) sebaik dimasukkan ke IJN semalam untuk pemantauan rapi oleh pasukan perubatan.
“Walaupun segala usaha rawatan telah dilakukan,Allahyarham menghembuskan nafas terakhir dengan tenang dikelilingi ahli keluarga tersayang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau,pemergian Tun Abdullah atau mesra disapa Pak Lah amat dirasai seluruh warga IJN kerana peribadinya yang tenang,merendah diri dan berjiwa besar.
“Penjagaan kami terhadap Allahyarham di saat-saat akhir kehidupannya adalah satu penghormatan besar. Kerendahan diri dan kebaikan beliau menyentuh hati semua pihak,” katanya.
Sementara itu,Pakar Perunding Kardiologi dan Ketua Jabatan Kardiologi IJN,Datuk Dr. Azmee Ghazi menyifatkan Allahyarham seorang yang sentiasa tenang dan tabah walaupun dalam keadaan kesihatan yang merosot.
“Malah dalam detik-detik akhir hidupnya,beliau tetap tenang dan bersikap baik. Satu penghormatan besar buat kami berada di sisi beliau,” katanya.
Allahyarham dikenang sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat yang membawa ketenangan,kasih sayang dan nilai murni dalam kepimpinan negara.
Sumbangan beliau dalam memperkukuh perpaduan,tadbir urus negara serta memperkasakan institusi kerajaan sentiasa dikenang dengan penuh penghormatan dan kekaguman.
IJN turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan memohon agar privasi mereka dihormati sepanjang tempoh berkabung ini.
Jenazah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi akan dibawa ke Masjid Negara esok bagi penghormatan terakhir bermula pada pukul 11 pagi hingga 1 tengah hari.
Solat jenazah dijangka dilaksanakan selepas waktu Zohor sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan,bersebelahan Masjid Negara.
BERITA BERKAITAN
Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia pada usia 85 tahun