KDN laksana pelan integrasi komprehensif dua bekas tahanan Guantanamo

2024-12-20     HaiPress

Foto Facebook Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR,19 Disember- Dua rakyat Malaysia yang dihantar pulang oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) selepas ditahan di Kem Tahanan Teluk Guantanamo,Cuba,sejak 18 tahun lalu akan menjalani pelan integrasi komprehensif bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam hantaran di media sosialnya memaklumkan pelan berkenaan dirancang untuk memastikan pemulihan menyeluruh serta membolehkan kedua-dua individu berkenaan berintegrasi semula ke dalam masyarakat.

"Kerajaan Perpaduan Malaysia MADANI prihatin dan ihsan terhadap kebajikan dua orang warganegara Malaysia yang kembali dari Kem Tahanan Teluk Guantanamo.

"Program ini disusun secara terperinci melalui tiga fasa utama,di mana setiap satunya menitikberatkan keseimbangan antara pemulihan individu dan keharmonian sosial. Sebagai pelengkap kepada pelan ini,mekanisme pemantauan rapi turut dirangka bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya," katanya.

Menurutnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan pemantauan berterusan,termasuk lawatan berkala untuk menilai kemajuan pemulihan serta memastikan kebajikan mereka terus terjaga.

Saifuddin Nasution berkata pendekatan yang dilaksanakan itu bukan sahaja mencerminkan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan semua warganegara,malah turut menonjolkan nilai-nilai Malaysia MADANI yang mengutamakan peluang kedua dan keadilan sosial.

Semalam,Kementerian Dalam Negeri memaklumkan bahawa Amerika Syarikat telah menyerahkan kembali Mohammed Farik atau Zaid (Zubair) dan Mohammed Nazir atau Bashir Lep (Lillie).

Mereka ditahan di kem berkenaan sejak 2006 atas dakwaan terbabit dalam kumpulan militan Jemaah Islamiah dan Al-Qaeda.

Pada 30 Ogos 2021,Mohammed Farik,49,dan Mohammed Nazir,47,dihadapkan ke Mahkamah Pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat di Teluk Guantanamo berhubung insiden pengeboman yang mengorbankan 202 orang di Bali,Indonesia,pada 2002.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.