12-30
Polis Johor terima 952 kamera badan,tingkatkan integriti pasukan
2024-12-19 IDOPRESS
Ketua Polis Johor,Datuk M. Kumar / Foto RTM
JOHOR BAHRU,19 Disember – Polis Kontinjen Johor telah menerima 952 unit kamera badan (BWC) untuk kegunaan petugas barisan hadapan,termasuk anggota peronda dan unit penguatkuasaan trafik di negeri itu.
Ketua Polis Johor,Datuk M. Kumar berkata kamera badan tersebut akan diagihkan kepada anggota unit peronda (MPV),Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Johor.
“Penggunaan peranti ini dapat meningkatkan keupayaan dan integriti pasukan,terutama semasa berinteraksi dengan masyarakat. Ia juga mampu menyangkal aduan atau tuduhan tidak berasas terhadap anggota di lapangan dan meningkatkan persepsi positif masyarakat terhadap polis,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor,di sini.
Tambah M. Kumar rakaman daripada kamera badan itu boleh digunakan sebagai bukti langsung di mahkamah,menjadikannya alat penting dalam usaha memperkukuh keadilan.
Dalam perkembangan lain,M. Kumar berkata seramai 23 pegawai dan 204 anggota akan ditugaskan sempena Op Lancar di negeri itu bermula 24 Disember hingga 1 Januari tahun depan.
Operasi tersebut bertujuan memastikan kelancaran trafik semasa musim cuti dan perayaan,terutama di 49 lokasi yang kerap mengalami kesesakan serta 31 lokasi sering berlaku kemalangan.