12-20
AI tidak akan sebabkan kehilangan pekerjaan - PM
2024-12-12 HaiPress
Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perasmian Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) di Kuala Lumpur hari ini/RTM
KUALA LUMPUR,12 Disember- Kewujudan dan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) diyakini tidak akan menyebabkan kehilangan pekerjaan,sebaliknya ia menuntut latihan dan daya pemikiran yang lebih inovatif dalam menghadapi cabaran tersebut,kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar menegaskan bahawa peralihan teknologi itu akan mengubah landskap kepakaran sesebuah industri dan memberikan peluang untuk pengembangan kemahiran dalam bidang teknologi.
"Saya tidak terlalu bimbang. Jika kita lihat,setiap kali berlaku revolusi industri,orang ramai akan bimbang. Begitu juga dengan kemajuan dalam teknologi maklumat (IT),namun kita mampu menanganinya.
"Yang penting adalah keupayaan pemikiran untuk menyelesaikan masalah ini. Namun,latihan yang mendalam dan mendesak sangat diperlukan," ujar beliau semasa berucap pada Majlis Perasmian Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) di sini hari ini.
Perdana Menteri turut menggariskan bahawa teknologi digital termasuk AI adalah pemangkin penting untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan mencapai status negara berpendapatan tinggi.
Dalam hal ini,Anwar menekankan keperluan untuk meningkatkan literasi digital dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya penjawat awam dan pemimpin politik.
"Kaedah lama perlu melalui peralihan atau anjakan paradigma yang menuntut perubahan sistem. Anjakan ini akan membantu mengenal pasti kefahaman yang lebih mendalam.
"Kita harus faham bahawa tanpa kepantasan luar biasa,kita akan tewas dan cita-cita kita hanya akan menjadi impian. Oleh itu,membina ekosistem yang kukuh adalah kemestian termasuk mewujudkan Pejabat NAIO untuk merancang dan menyelaras hasrat kita," katanya lagi.
Penubuhan Pejabat NAIO diharap dapat memperkukuhkan ekosistem digital negara dan memastikan Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2025.