12-25
Pasaran getah dijangka alami dagangan berjulat kecil minggu depan
2024-12-09 HaiPress
FOTO HIASAN
KUALA LUMPUR,7 Disember- Pasaran getah tempatan dijangka mengalami dagangan dalam julat kecil dengan kecenderungan meningkat minggu depan berikutan keadaan bekalan terhad.
Pakar industri Denis Low berkata jangkaan itu susulan bencana banjir yang melanda di Malaysia dan Thailand baru-baru ini.
Beliau berkata walaupun kedua-dua negara Asia Tenggara itu mengalami cuaca monsun tahunan,kalangan ahli sains berpandangan perubahan iklim telah menyebabkan corak cuaca yang lebih intensif,yang boleh meningkatkan kemungkinan banjir.
"Oleh itu,akan ada lebih keperluan untuk menyimpan stok dan peniaga mungkin tidak mahu terperangkap dengan kekurangan bekalan,” katanya kepada Bernama.
Menurut Pihak Berkuasa Getah Thailand (RAT),banjir besar yang melanda selatan Thailand menyebabkan kerugian bernilai 20 bilion baht (RM2.6 bilion) kerana para pekebun getah tidak akan dapat menoreh dalam tempoh sebulan atau lebih.
Sementara itu,beberapa negeri pengeluar getah di Malaysia juga terjejas ekoran banjir yang berpunca daripada hujan berterusan yang dibawa oleh Monsun Timur Laut.
Low juga berkata ketegangan geopolitik,BRICS dan ketidakpastian mengenai kemungkinan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas barangan China menambahkan lagi ketidaktentuan pasaran dan menjejaskan sentimen.
"Ketidakpastian sedemikian menunjukkan ketidaktentuan dan pada masa sama boleh mencetuskan sentimen berhati-hati dan kebimbangan. Keadaan ini juga mendorong harga komoditi tertentu melebihi jangkaan di samping menurunkan juga harga beberapa komoditi," katanya.
Sementara itu,Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menjelaskan musim La Nina,hujan lebat dan banjir di negara-negara Asia Tenggara,terutama Malaysia dan Thailand akan terus mengganggu bekalan getah asli.
"Bagaimanapun,trend kenaikan ini mungkin dikekang oleh aktiviti pengurangan dalam sektor perkhidmatan AS,ketegangan perdagangan AS-China dan peningkatan tarif AS ke atas produk China,” katanya.
Menurut MARGMA penangguhan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) mungkin memberikan kelegaan jangka masa pendek kepada pasaran.
Walaupun begitu,kesan jangka masa panjang EUDR boleh mempengaruhi permintaan terhadap getah mampan dan,seterusnya mempengaruhi harga getah global,tambahnya.
Harga dijangka terus meningkat minggu hadapan di samping menjejaki prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau,kekukuhan ringgit berbanding dolar AS serta harga minyak mentah yang menjadi penanda aras.
Berasaskan Jumaat ke Jumaat,harga rujukan bagi getah fizikal oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) meningkat 54.5 sen kepada 933.5 sen sekilogram,manakala susu getah pukal naik 15 sen kepada 688.5 sen sekilogram.
Pada pukul 5 petang semalam,harga GMM 20 berada pada 936.5 sen sekilogram dan susu getah pukal pada 687.5 sen sekilogram.- BERNAMA