11-14
Tuanku Canselor UPM berangkat menyempurnakan majlis makan malam alumni
2024-10-29 HaiPress
Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) pada Majlis Makan Malam Sirih Pulang Ke Gagang@Homecoming XII Tahun 2024/Foto UPM
SERDANG,29 Oktober – Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM),Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Makan Malam Sirih Pulang Ke Gagang@Homecoming XII Tahun 2024.
Majlis yang berlangsung baru-baru ini,dihadiri seramai 500 Alumni UPM; berlangsung di Dewan Besar,Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS),UPM.
Universiti itu dalam kenyataan memaklumkan acara dwitahunan itu berjaya mengumpul kira-kira RM500,000.00 untuk dijadikan biasiswa,dermasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar.
Menurut Naib Canselor UPM,Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah,program ini menjaadi peluang kepada alumni untuk menyumbang seterusnya membantu pelajar UPM melalui pemberian biasiswa,dermasiswa dan bantuan kewangan pelajar.
“Program ini juga dilihat sebagai satu platform terbaik bagi menyemarakkan lagi semangat ‘Berilmu Berbakti’ dalam kalangan warga UPM untuk bersama-sama dalam setiap program dan aktiviti yang dilakukan.
“Tahniah saya ucapkan kepada semua Alumni UPM yang hadir pada majlis gilang gemilang ini. Kebersamaan dan keterlibatan ditunjukkan ini secara simboliknya menyatakan komitmen penuh para alumni kepada program dan aktiviti yang dijalankan oleh pihak universiti,” katanya.
Program itu dianjurkan Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) sebagai usaha menggalakkan kepulangan alma mater (bekas pelajar) UPM sekali gus memperkasakan jalinan perhubungan.