'Self-Drive Tourism', perkasa sektor pelancongan Malaysia-Thailand

2024-10-27     HaiPress

Foto BERNAMA

BUKIT KAYU HITAM,26 Oktober- Malaysia dan Thailand mempergiat kerjasama dalam mempromosi pelancongan rentas sempada menerusi inisiatif 'Self-Drive Tourism'.

Inisiatif itu bagi meningkatkan kesedaran tentang laluan dan aktiviti pelancongan di kedua-dua negara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan,Seni dan Budaya (MOTAC),Dr. Yasmeen Yasim berkata Malaysia amat teruja untuk merealisasikan jalinan itu sekali gus menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Katanya,inisiatif berkenaan dicetuskan Pasukan Petugas Bersama Malaysia-Thailand untuk kerjasama pelancongan dalam usaha memperkaya pengalaman pelancongan sambil memupuk pertukaran budaya lebih mendalam antara dua negara.

"Kerjasama terbabit diharapkan menjadi satu lagi dimensi yang meningkatkan hubungan pelancongan antara Malaysia dan Thailand.

Inisiatif 'Self-Drive Tourism' dan pelancaran peta akan meningkatkan dan menambah baik pergerakan pelancong antara Malaysia dan Thailand dan sebaliknya," kata Dr. Yasmeen kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Malaysia-Thailand Self-Drive Tourism di lot parkir Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam.

Hadir sama,Ketua Pengarah Tourism Malaysia,Datuk Manoharan Periasamy.

Ujar Dr. Yasmeen,usaha itu akan dapat menarik ketibaan 35.6 juta pelancong sempena TMM 2026.

Sementara itu,Timbalan Gabenor Antarabangsa Lembaga Pelancongan Thailand (TAT),Pattaraanong Na Chiang Mai berkata Thailand mengiktirafMalaysia sebagai menyumbang kepada pasaran pelancongan negara itu dengan kira-kira empat juta rakyat Malaysia berkunjung ke sana,tahun ini.

"Ini permulaan baharu untuk kita bekerjasama dalam meningkatkan industri pelancongan dua negara. Ini bukan sahaja untuk merapatkan budaya malah untuk memupuk persefahaman bersama serta memacu pertumbuhan ekonomi.

Jadi,saya fikir ini adalah permulaan yang baik dan ia adalah langkah mula dalam meneruskan agenda kita bersama," jelas Pattaraanong.

Dalam majlis itu,Dr. Yasmeen dan Pattaraanong membuat acara pelepasan lebih 50 kereta dan motosikal dari Malaysia dan Thailand sempena 'Self-Drive Tourism'.


Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.