12-20
Malaysia-UAE tanda tangan FTA akhir tahun ini
2024-10-17 HaiPress
Foto/ BERNAMA
KUALA LUMPUR,17 Oktober - Malaysia dijangka menandatangani perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada akhir tahun ini,kata Menteri Pelaburan,Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata,pada minggu lepas pihaknya telah selesai berbincang dengan negara itu dan kini bersama-sama Jabatan Peguam Negara untuk proses memuktamadkan perjanjian tersebut.
“Insya-Allah pada akhir tahun ini,kita dapat menandatangani perjanjian perdagangan bebas yang pertama bersama sebuah negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
“Memang peluang itu besar dari segi perdagangan dan pelaburan,jadi kita perlu memberikan fokus kepada GCC,” katanya.
Beliau berkata melalui FTA itu,syarikat Malaysia akan meraih manfaat seperti tarif perdagangan yang lebih rendah atau bebas tarif.
“Dari segi pelaburan juga kita mempunyai insentif bersama dan ini akan membolehkan lebih banyak syarikat yang bertapak di Malaysia mendapat akses kepada pasaran di UAE,seterusnya di seluruh (negara anggota) GCC kerana UAE merupakan hab bagi GCC manakala Dubai adalah pintu masuk ke GCC,” katanya.
Selain itu,Tengku Datuk Seri Zafrul berkata,Malaysia yang berperanan sebagai Pengerusi ASEAN 2025 turut akan berusaha untuk membina jalur perdagangan antara GCC dan ASEAN.
Pada Mei tahun depan,negara akan menganjurkan Persidangan ASEANGCC+China yang meliputi kesemua negara ASEAN,enam negara Teluk termasuk Bahrain,Oman,Kuwait,Qatar,Arab Saudi dan UAE serta China.
Terdahulu,beliau menyertai dan merasmikan program ‘Fun Run Bernama Radio & MITI’ di Tasik Titiwangsa di sini. - BERNAMA