Malaysia-Rusia seiring perkasa sektor pendidikan tinggi

2024-10-17     HaiPress

Delegasi Malaysia diketuai Menteri KPT,Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir (tiga dari kiri) merakam gambar kenangan bersama Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Rusia,Valery Falkov (empat dari kiri)/Foto MQA

SEPANG,17 Oktober- Malaysia dan Rusia komited memperkukuh bidang pendidikan tinggi di kedua-dua negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata perkara itu menjadi antara perbincangan penting dalam Mesyuarat Ketiga Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi,Saintifik,Teknikal dan Kebudayaan (JCESTC),baru-baru ini.

Katanya,banyak perbincangan dilaksana dalam lawatan tersebut merangkumi pelbagai bidang dan melibatkan wakil pemimpin politik dan ahli akademik Rusia.

"Pastinya,Malaysia boleh belajar dalam pelbagai aspek terutama perkara yang membabitkan pembangunan digital,pelancongan. Ini kerana di Rusia dan Malaysia banyak tempat menarik boleh dipromosikan."

"Selain itu,satu Kursi Pengajian Melayu dicadang untuk ditubuhkan di salah sebuah universiti di Rusia."

"Semua perbincangan ini dapat meningkatkan imej dalam kalangan masyarakat di kedua-dua negara kerana banyak maklumat dapat dikongsi dengan mudah ketika pertemuan dengan pihak berkepentingan di Rusia," kata Dr. Mohammad Shatar.

Delegasi Malaysia diketuai Menteri Pendidikan Tinggi,Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir serta beberapa pegawai kementerian lain termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI),Kementerian Pelancongan,Seni dan Warisan (MOTAC),Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Digital.

Mengulas lanjut,Mohammad Shatar menjelaskan pihaknya akan memastikan hubungan yang terjalin baik dikekalkan untuk kerjasama mendatang.

Tambahnya,menyedari hakikat Rusia sebagai negara terbesar dunia dan mempunyai populasi yang ramai,potensi untuk menghantar pelajar ke Malaysia juga tinggi.

"Kehadiran pelajar antarabangsa dari Rusia pastinya memberi gambaran baik kepada Malaysia lebih-lebih lagi dalam merealisasikan hasrat Dr. Zambry untuk menjadikan Malaysia sebagai hab Pendidikan global."

"Selain program mobiliti pelajar dan pertukaran pensyarah dari kedua-dua negara,kedua-dua pihak akan meningkatkan kerjasama dalam penyelidikan serta inovasi," ujarnya.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.