12-27
Permohonan kerja sektor awam dijangka cecah 1.5 juta tahun ini
2024-10-15 HaiPress
Foto BERNAMA
SEREMBAN,15 Oktober - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menjangkakan permohonan pekerjaan dalam sektor awam meningkat kepada kira-kira 1.5 juta menjelang hujung tahun ini.
Pengerusi SPA,Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata peningkatan itu susulan kecekapan dalam urusan pengambilan calon,selain pengumuman sistem baharu dalam penjawat awam.
"Sehingga hujung tahun ini,kita menjangkakan berlaku peningkatan permohonan antara 20 hingga 30 peratus berbanding tahun lepas berjumlah 1.2 juta permohonan," katanya.
Menurut beliau,bilangan permohonan yang tinggi bermakna pilihan lebih besar.
Sehubungan itu,kaedah penyaringan perlu dilakukan dengan lebih baik dan berkesan bagi memastikan calon yang terpilih benar-benar berkualiti.
Datuk Seri Dr Ahmad Jailani berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Temu Duga SPA Seremban di UTC Negeri Sembilan.
Pusat temu duga itu menyediakan kemudahan yang lebih komprehensif untuk diakses oleh calon di negeri berkenaan.
Antaranya kemudahan internet untuk calon menduduki Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) dan Ujian Psikometrik,serta mendapatkan konsultasi berkaitan pengambilan ke perkhidmatan awam.