12-20
Mahasiswa berjuang lawan kanser tahap 4 terima bantuan KEDA
2024-09-08 berita.rtm.gov.my HaiPress
Wan Fahimah Wan Mohamad Othman (dua kiri) menerima bantuan daripada daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah yang disampaikan oleh Jamil Khir Baharom (tiga kanan)
PEDU,8 September- Wan Fahimah Wan Mohamad Othman,27,pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) terpaksa menerima hakikat apabila disahkan menghidap kanser payudara tahap empat pada Januari lalu.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda al-Quran dan Pengajian Qiraat dari Kampung Kepala Batas,Jalan Ampangan Pedu,Kuala Nerang,Kedah itu tetap cekal meskipun penyakit tersebut memberi kesan kepada mental dan emosi.
"Sokongan daripada keluarga,kawan-kawan dan minda positif sangat penting. Kalau kita tak bantu diri sendiri,kita tak akan berjaya. Jadi saya usaha jalani rawatan untuk sembuh dan teruskan impian saya," katanya.
Sejak disahkan menghidap kanser,Wan Fahimah telah menjalani enam sesi rawatan kimoterapi di Hospital Sultan Abdul Halim,Sungai Petani dan Hospital Pulau Pinang.
Walaupun terpaksa berdepan dengan cabaran besar,beliau tetap optimis untuk pulih dan mencapai impiannya menjadi pensyarah dalam bidang al-Quran dan Tahfiz.
Pendapatan keluarganya yang hanya sekitar RM2,700 sebulan digunakan untuk menampung kos rawatan selain menyara lima lagi adik-beradiknya yang masih bersekolah.
Ayahnya Wan Mohamad Othman Ismail bekerja sebagai pengawal keselamatan manakala ibunya,Rodhiah Safie,seorang guru Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA) di Sekolah Kebangsaan Datin Fatimah,Kuala Nerang.
"Saya sebagai ibu mendoakan agar dia cepat sembuh dan bebas daripada kanser. Semoga dia dapat tamatkan pengajian dan capai impiannya," luah Rodhiah.
Penderitaan yang dihadapi keluarga tersebut mendapat perhatian daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang menghulurkan bantuan kewangan melalui program Konvoi Semarak Kasih Merdeka KEDA 2024.
Pengerusinya Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut meluluskan peruntukan berjumlah RM15,000 untuk membaik pulih rumah keluarga Wan Fahimah yang dijangka siap pada November ini.
"Kami berharap keluarga ini dapat bangkit semula. Anak-anak mereka sudah berada di peringkat pengajian tinggi dan kita doakan adik Wan Fahimah dapat pekerjaan yang boleh membantu meringankan beban keluarga," ujarnya.
Tambahnya,ibu Wan Fahimah sebelum ini pernah menerima Bantuan Ekonomi daripada KEDA melalui Program Peningkatan Pendapatan (PPP) pada tahun 2023,yang membantu beliau menjalankan perniagaan kuih-muih panas dan sejuk beku seperti cucur badak,pulut udang,kuih keria,dan kasui.