Malaysia mula eksport durian segar ke China

2024-08-24     berita.rtm.gov.my HaiPress

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan,Datuk Arthur Joseph Kurup

SEPANG,24 Ogos - Malaysia memulakan langkah bersejarah hari ini dengan mengeksport durian segar ke China melibatkan 40 metrik tan (MT) yang akan dihantar secara berperingkat dalam tiga fasa.

Durian segar itu dieksport ke China susulan pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China,antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pentadbiran Am Kastam China (GACC)Yu Jianhua,19 Jun lepas di Putrajaya.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata,durian yang akan dieksport ialah jenis Musang King,Black Thorn,D24,dan IOI.

Tambah beliau,durian segar itu akan dieksport ke enam kawasan utama di China iaitu Zheng Zhou,Henan,Shanghai,Beijing,Nanning dan Shenzhen.

"Jadi program kita pada hari ini dianjurkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan khususnya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) peranan yang dimainkan FAMA ini adalah untuk mempromosikan produk pertanian Malaysia dan membantu petani serta pengeksport tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa," kata Arthur.

"Fasa pertama ialah hari ini sebanyak 15MT,fasa kedua iaitu esok berjumlah 10MT,manakala selebihnya untuk fasa ketiga," kata Arthur.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Eksport Durian Segar Malaysia ke China di Terminal Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),di sini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pengangkutan,Anthony Loke.

Mohamad Sabu dijadualkan akan ke China hari ini untuk menyambut ketibaan kumpulan pertama durian segar di Shenzhen.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.